Connect with:




Dengan mengambil inspirasi sang semut kecil tetapi berjiwa besar sepertimana PKNS FC, slogan #FearNothing telah diperkenalkan dalam majlis pelancaran jersi pasukan yang berlangsung semalam.

Malah, PKNS terus mengekalkan tradisi ‘oren’ sebagai jersi pertama pasukan dalam saingan liga Malaysia 2019.

Sedikit kelainan ditonjolkan pada jersi kedua yang mempamerkan warna hijau dan maroon buat kali pertama manakala penggunaan warna biru diterapkan untuk jersi ketiga.

Jersi penjaga gol pula berwarna hitam, kuning dan juga merah.

Dalam pada itu, jenama pakaian sukan Lotto kembali menjadi pilihan pengurusan PKNS FC selepas kali terakhir digunakan pada 2014.

Majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi PKNS FC disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman yang bertempat di Uptown Shah Alam.

Sebagai rekod, skuad Semut Merah menduduki tangga ketiga liga Super pada musim lepas selain mara ke separuh akhir Piala FA tahun lalu.

Skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu akan membuka tirai Liga Super bertemu naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 1 Februari ini.