Connect with:




Khabar gembira pastinya buat peminat Harimau Malaya apabila pengendalinya, Tan Cheng Hoe memaklumkan kesemua tonggak pertahanan skuad negara sudah kembali cergas menjelang pertembungan final kedua Piala AFF Suzuki 2018 bertemu Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi malam esok.

Pada pertembungan final pertama, skuad negara tampak sedikit tempang apabila terikat 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ekoran dari kehilangan khidmat Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Syazwan Andik yang mengalami kecederaan selain turut tidak dapat menurunkan Syahmi Safari akibat pergantungan kad merah.

Cheng Hoe bagaimanapun telah mengesahkan kesemua pemain terbabit berada dalam keadaan cergas untuk diturunkan pada pertembungan ‘wajib menang’ itu andai Harimau Malaya masih bercita-cita untuk keluar sebagai juara kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara itu buat kali kedua.

“Saya harap kesemua tiga pemain pertahanan ini dapat membantu skuad negara pada final kedua nanti memandangkan mereka semua bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk diturunkan.

“Namun, kita sedar Vietnam memeliki kelebihan berdasarkan corak serangan pantas dan saya harap mana-mana pemain yang diberi peluang nanti perlu lebih fokus mengawal perlawanan agar tidak dibolosi,” jelas Cheng Hoe.

Pada masa yang sama, Cheng Hoe turut mengakui beliau akan ada ‘pelan B’ yang mana mungkin aka nada perubahan formasi khususnya bahagian pertahanan namun ia akan berlaku berdasarkan keadaan dan keputusan semasa nanti.

“Saya akui pada final pertama kita telah menukar formasi kepada 3-4-3 kerana sedikit terdesak untuk mencari kemenangan selain mencari kestabilan dalam menahan asakan Vietnam dan mungkin formasi itu akan digunakan sekali lagi tetapi ia masih belum diputuskan.

“Apa yang lebih penting ketika ini adalah pemain harus menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Vietnam memasuki musim sejuk dan saya harap ia tidak terlalu menjejaskan momentum kami,” ujarnya lagi.

 

Foto : Facebook FAM

Sumber : Bernama