Connect with:




Kehidupan Jeffrey Lim yang aktif dengan aktiviti bina badan dikejutkan pada 2004 selepas timbul benjolan dibahagian lehernya. Dia kemudian dikejutkan apabila mengetahui dirinya menghidap kanser Naso Pharyngeal Carcinoma (NPC).

Jeffrey mengambil masa untuk berjuang mengatasi kansert tersebut menerusi rawatan selama 7 minggu yang menyaksikan dirinya mengharungi 35 sesi radioterapi dan 7 kemoterapi. Beliau kehilangan 15 kilogram hasil sesi rawatan tersebut.

Kini, Jeffrey bukan sahaja brgelar sebagai seorang cancer survivor malah beliau merupakan seorang IRONMAN. Kisahnya menjadi inspirasi buat penghidap kanser untuk terus melawan dan bangkit meneruskan kehidupan. Ikuti temubual Dunia Sukan bersama Jeffrey menceritakan kisah hidupnya sebagai bekas penghidap kanser dan juga atlet triathlon yang memberikan inspirasi.

DS: Apakah perbezaan anda ketika sebelum menghidap kanser dan selepas disahkan bebas dari kanser?

JL: Saya seroang yang kuat bekerja sebelum ini. Saya balik lewat malam dan kerap membiarkan perut saya kosong kerana tidak mengambil makan malam. Boleh katakan saya mengalami tekanan ketika itu. Ia membuatkan sistem imunisasi badan saya menjadi lemah dan saya rasa itu antara punca saya mendapat kanser. Selepas bebas kanser, saya mengambil masa 5 tahun untuk benar-benar rasa sihat.

DS: Apa yang anda alami ketika mengikut sesi rawatan radioterapi dan kemoterapi?

JL: Saya membuat sesi radioterapi dari Isnin hingga Jumaat untuk 12 minggu berturut-turut. Sesi pertama dan kedua, semuanya berjalan lancar. Masuk minggu ketika, badan saya mula menerima impak kesan rawatan. Saya kerap muntah. Apabila melakukan kemoterapi, badan saya dirasakan seperti melawan fungsi sebenar tubuh badan. Kesannya agak kuat. Saya bernasib baik kerana kanser NPC ini hanya memerlukan terapi tanpa pengambilan ubat-ubatan.

DS: Bagaimana pula anda boleh terlibat dengan aktiviti larian?

JL: Sebelum menghidap kanser, saya aktif dengan aktiviti di gimnasium. Setiap hari say ke gimnasium, besarkan bicep dan otot otot lain. Semasa menghidap kanser, saya lebih banyak melakukan taici. Apabila sudah bebas dari kanser, saya mula aktif dengan sukan larian. Sebenarnya faktor utama saya aktif dengan larian adalah saya cepat beras penat apabila turun dan naik tangga. Saya fikir saya sangat kurang melakukan aktiviti kardio. Dari situ saya mula berlari dan menyertai acara larian 10km sehinggalah maraton penuh 42km.

DS: Kemudian anda aktif dengan triathlon?

JL: Ya. Semasa saya menyertai satu acara di Pulau Pinang, saya terdengar perbualan rakan-rakan mengenai IRONMAN. Saya kemudiannya melakukan sedikit kajian dan mendapati ia merupakan satu acara triathlon yang cukup ekstrem dan terkenal di dunia. Timbul minat saya untuk mencubanya. Kebetulan seorang klien tempat saya bekerja adalah seorang atlet triathlon. Jadi saya berlatin bersama-samanya. Saya kemudiannya menyertai perlumbaan triathlon pertama saya di Tasik Kenyir (jarak Olimpik) pada 2014. Saya juga turut sertai 5 perlumbaan triathlon dalam tempoh dua tahun selepas itu. Pada penghujung tahun 2015, saya berazam untuk sertai perlumbaan IRONMAN di Langkawi.

DS: Boleh ceritakan sedikit regime latihan anda?

JL: Bagi disiplin berenang, saya akan melakukannya dua kali seminggu dengan jarak 3-4km di Petaling Jaya. Untuk larian, saya akan berlari juga dua kali seminggu selepas waktu kerja. Pada hujung minggu, saya akan berbasikal. Selalunya saya akan berkayuh di Hulu Langat, Broga dan Genting Perez.

DS: Bunyinya seperti jadual anda sangat padat. Bagaimana anda membahagikan masa bersama keluarga?

JL: Ya, memang padat. Sebab itulah banyak pengorbanan perlu dilakukan untuk berlumba dalam IRONMAN. Saya berlatih selama 4 bulan dalam jadual yang padat. Setiap Sabtu, saya akan bangun pada jam 4.30 pagi dan mula berkayuh jam 6 pagi. Hanya pada pukul 1 petang, baru saya akan kembali sampai ke rumah. Mujur isteri dan 4 orang saya memahaminya. Untuk pujuk mereka, selalunya saya akan bawa mereka bercuti bersama-sama ketika perlumbaan seperti saya lakukan untuk edisi tahun lepas. Cuma tahun ini, isteri saya tidak lagi mahu ikut ke Langkawi jadi saya perlu fikirkan destinasi lain. Mungkin Bali. Haha.

DS: Ceritakan pengalaman anda berlumba di IRONMAN tahun lalu.

JL: Tahun lepas, mujur hujan turun semasa perlumbaan berlangsung. Ia lebih baik dari cuaca panas terik. Bagaimanapun, saya masih ingat apa yang berlaku ketika disiplin berbasikal. Saya mengalami kejang otot sehingga memerlukan bantuan peserta lain untuk turunkan saya dari basikal. Selepas berehat 15 minit, saya kembali meneruskan perlumbaan.

DS: Sasaran anda untuk IRONMAN tahun ini?

JL: Tahun lalu saya menamatkan perlumbaan dalam tempoh 16 jam dan 30 minit. Tahun ini saya berazam untuk perbaiki catatan dengan melakukan sub-15. Saya mahu tamatkan sejam lebih awal berbanding tahun lepas.

DS: Apa yang menarik mengenai perlumbaan di Langkawi?

JL: Saya sukakan pemandangan di Pantai Kok. Ia pantai yang cukup indah. Ketika disiplin berenang, airnya jernih dan ombaknya sedikit membantu peserta untuk berenang. Cuma masalah utama adalah obor-obor tetapi setakat ini, saya belum pernah alami serangan binatang tersebut mujur kerana pelumba-pelumba elit di depan lebih awal bertemu dengan obor-obor. Jadi bagi mereka yang berada di belakang, mereka akan terselamat.

DS: Apa pesanan anda kepada semua penghidap kanser dalam menghadapi kehidupan?

JL: Sentiasa berfikiran positif. Pastikan diri anda dikelilingi orang-orang yang positif. Bagi yang sudah bebas dari kanser, mungkin mereka akan alami trauma jika badan ada merasai kesakitan. Saya pernah berdepan perkara yang sama. Memang akan ambil masa sedikit untuk atasi ketakutan tersebut tetapi jangan berhenti untuk berfikiran positif. Jaga pemakanan dan paling penting, aktifkan diri anda dengan aktiviti-aktiviti kecergasan.