Selangor United yang terkenal kerana kelainan mereka melantik pemain sebagai duta telah menganjurkan ‘Malam Terima Kasih Hardi’ di Restoran Lagenda 17, Seksyen 13, Shah Alam malam tadi.

Majlis yang dihadiri hampir 50 ahli berlangsung dengan meriah dan diadakan bagi mengenang jasa Hardi Jaafar selaku duta mereka. Turut hadir memberi sokongan adalah pemain Selangor, Fitri Shazwan Raduwan.

Hardi yang bermain dengan Selangor selama 3 musim kini beralih angin dengan memilih Felda United sebagai pasukan baru.

Dalam ucapannya, Hardi mengucapkan jutaan terima kasih dan sangat terharu dengan sokongan berterusan Selangor United kepada beliau dan menganggap ini sebagai detik terbaik dalam karier bolasepaknya.

Dalam majlis sama, Selangor United telah mengumumkan duta baru mereka iaitu P. Gunalan bagi menggantikan Hardi untuk musim 2012 nanti.