Kekecewaan tewas 2-0 kepada Terengganu wajar cepat dilupakan Selangor agar mereka mampu bangkit dalam aksi kedua separuh akhir di Kuala Terengganu Sabtu ini.

Daripada Misi 33, kini Selangor perlu melancarkan misi baru iaitu Misi 3-0 untuk melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Malaysia 2011 dan ianya tampak mustahil sekiranya aksi ketika di Shah Alam berulang.

Mungkin ada benarnya, kehilangan Amri Yahya telah merencatkan rencana jurulatih Selangor, P. Maniam tempohari, namun apa kurangnya pemain-pemain lain seperti Safiq Rahim, Hardi Jaafar mahupun Azidan Sarudin?

Walaupun dijangka bakal kembali beraksi Sabtu ini oleh P. Maniam, dengan kecederaan yang masih dalam pemulihan, mampukah Amri Yahya melakukan sesuatu tanpa bantuan rakan-rakan lain?

Sekiranya dinilai aksi di Shah Alam, Selangor kelihatan tertekan bilamana Manaf Mamat menjaringkan gol seawal minit pertama lagi. Permainan Selangor terus tak menjadi dan masing-masing cuba menjadi wira dengan pelbagai cara yang akhirnya kelihatan mensia-siakan peluang yang ada.

Skuad Gergasi Merah perlu bermain dengan tenang dan secara berpasukan sekiranya mahu menumbangkan Terengganu. Tiada yang mustahil kerana perlawanan masih berbaki 90 minit di tempat lawan.

Ketepikan dulu rekod rentetan kegagalan Selangor mencapai sebarang kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan kembali fokus bagaimana mahu merobek gawang yang dikawal kemas Sharbinee Allawee.

P. Maniam mengakui bukan mudah untuk pasukannya kerana mereka telah ketinggalan dua gol namun beliau turut menyatakan bukan mustahil juga untuk bangkit sekiranya mereka mempamerkan permainan yang baik.

Sementara itu, Terengganu dikatakan bakal meneruskan aksi menyerang sebagaimana yang dipamerkan di Shah Alam tempohari. Diakui jurulatihnya, Irfan Bakti berkata, pasukan beliau akan terus beraksi secara menyerang disamping bertahan.

Dan tanpa berselindung, Irfan turut menyatakan beliau menghormati kemampuan Selangor, juara 32 kali Piala Malaysia. Segalanya bakal terjawab Sabtu ini, samaada Gergasi Merah pasrah lagi atau Penyu akan menangis kehampaan.