Connect with:




Pasukan futsal Selangor MAC yang merupakan juara “Malaysia Premier Futsal League (MPFL)” 2019, bakal ke Bangkok, Thailand dari 13 sehingga 16 Februari 2020 untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan pra-musim dengan pasukan futsal yang bermain di Liga Futsal Thailand.

Selangor MAC memilih untuk berhadapan dengan beberapa pasukan futsal profesional disana kerana ingin bersaing dengan pasukan yang mempunyai corak permainan yang berbeza berbanding dengan corak permainan pasukan yang ada di Malaysia.

Perlawanan persahabatan pra-musim edisi kali ini lebih penting buat Selangor MAC kerana pasukan yang bertanding di MPFL 2020 dijangka akan memberikan saingan yang lebih hebat dari musim yang terdahulu.

Seramai 23 orang pemain termasuk 5 orang pemain kebangsaan terkini iaitu Azrul Hadee Taufiq, Fariq Mohammad, Syed Aizad Daniel, Saad Sani dan Ekmal Shahrin dan 8 orang dari pihak pengurusan yang akan terlibat pada tahun ini.

Menurut pengurus pasukan iaitu Puan Mimi Afzan – perlawanan pra musim ini diadakan bagi menguji sejauh mana keberkesanan latihan yang telah dijalani oleh pasukan ini selama lebih dari sebulan ini.

“Kami juga bagi memberikan pendedahan kepada pemain-pemain baru untuk berdepan dengan pesaing luar yang semestinya lebih mencabar dari semua perlawanan yang pernah mereka hadapi. Dengan cara ini semoga pemain-pemain dapat mencapai potensi mereka dan menggilap persefahaman di antara mereka dengan lebih baik.

Bagi ketua jurulatih pula yang dikenali sebagai Coach Angah, perlawanan pra musim ini akan dapat mengenalpasti kelemahan dan kekurangan pasukan lantas ianya dapat membantu beliau untuk memperbaiki kelemahan dan sekaligus memantapkan lagi pasukan. Bagi beliau, ini adalah amat perlu memandangkan persaingan yang akan dihadapi selama 8 bulan musim MPFL 2020 ini.

Pasukan dari negara jiran yang dijadualkan adalah Navy Futsal Club (14 Februari 2020), Bangkok BTS (15 Februari 2020) dan Kasem Bundit (16 Februari 2020) dan kesemua perlawanan akan berlangsung di Bangkok.