Kejohanan Selangor Juniors League 2017 atau lebih dikenali sebagai SJL2017 telah tiba pada acara kemuncaknya setelah berlangsung selama dua bulan di Shah Alam bermula dari 1 April yang lalu. Perlawanan akhir SJL2017 telah berlangsung pada 20 Mei 2017 (Sabtu) di gelanggang Real Sports Arena, Klang.

SJL2017 yang telah diilhamkan oleh DYTM Tengku Amir Shah, ditubuhkan bertujuan untuk mencungkil bakat dalam kalangan pemain futsal dan juga memberi peluang kepada para pelajar untuk mewakili sekolah atau kelab mereka di dalam pertandingan futsal.

Ia dianggap sebagai langkah pertama dalam meningkatkan mutu sukan futsal di Selangor ke arah meningkatkan mutu bola sepak negara pada masa hadapan.

Sebanyak 45 pasukan telah bertanding dan yang terdiri daripada pasukan bawah 13 tahun, bawah 14 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 16 tahun. Pasukan-pasukan yang bertanding terdiri daripada kelab-kelab futsal amatur dan akademi futsal di sekitar kawasan petaling dan juga Kuala Lumpur.

SJL2017 juga telah menerima beberapa penyertaan khas dari pasukan di Johor dan juga Negeri Sembilan. Seramai hampir 700 pemain yang telah mengambil bahagian dalam SJL2017, di mana 11 pasukan telah menyertai kategori bawah 13 tahun, 10 pasukan telah bertanding bagi kategori bawah 14 tahun, 12 pasukan telah bertanding bagi kategori bawah 15 tahun dan 13 pasukan bertanding di dalam kategori bawah 16 tahun.

Sepanjang 2 bulan kejohanan ini berlangsung, banyak bakat-bakat baru yang berjaya dicungkil dan kemunculan pasukan-pasukan baru yang mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan ternama. Perlawanan akhir SJL2017 menjadi penantian setiap pasukan untuk merebut gelaran juara bagi edisi pertama kejohanan ini.

Perlawanan akhir SJL2017 menerima lebih kurang 300 penyokong yang telah menggegarkan Real Sports Arena. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran para VIP dari Biforst Group, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Majlis Sukan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Hadiah wang tunai kejohanan sebanyak RM20,000 menjadi rebutan para pemain. Bagi tempat pertama untuk setiap kategori, berpeluang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.00, piala kejohanan serta pingat kejohanan manakala tempat kedua berpeluang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00 dan pingat kejohanan, tempat ketiga pula hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 dan pingat kejohanan dan tempat keempat berpeluang memenangi wang tunai sebanyak RM500.00 dan pingat kejohanan.

Antara pengisian lain ketika hari perlawanan akhir adalah perlawanan persahabatan futsal wanita bawah 14 tahun dan para penonton juga berpeluang bermain permainan khas untuk berpeluang memenangi hadiah-hadiah istimewa.

Acara bermula dengan pembukaan majlis dari Ketua Teknikal kejohanan dan seterusnya dimulakan dengan perlawanan bagi kategori bawah 13 tahun, kemudian diikuti dengan perlawanan bagi kategori bawah 14 tahun. Acara diteruskan lagi dengan perlawanan bawah 15 tahun dan akhir sekali perlawanan bawah 16 tahun.

SJL2017 ditutup dengan ucapan penutup dari Dato’ Azhar Muhammad, Associate Director Biforst Logistics Group dan acara penyampaian hadiah. Kejuaraan SJL2017 telah dianugerahkan kepada pasukan Putra MB bagi kategori bawah 13 tahun, SMK Seksyen 18 bagi kategori bawah 14 tahun, Court Soccer FC bagi kategori bawah 15 tahun dan akhir sekali bagi kategori bawah 16 tahun telah dimenangi oleh Charo Futsal Team.

Selain itu, beberapa anugerah individu juga telah disampaikan kepada pemain terbaik kejohanan, penjaring tertinggi, penjaga gol terbaik dan juga jurulatih terbaik kejohanan.