Connect with:




Selangor Grassroots League 2018 atau lebih dikenali SGL2018 akhirnya tiba acara kemuncaknya setelah perlawanan peringkat Zon telah berlangsung dari 4 Mac 2018 hingga 6 Mei 2018. Kejohanan selama 9 minggu ini disertai oleh 255 pasukan dari 11 Zon yang meliputi tujuh daerah. Zon-zon yang terlibat bagi kejohanan pada tahun ini adalah:

Subang City Unity Grassroots League (Petaling)
Bukit Jelutong Grassroots League (Petaling)
Shah Alam Grassroots League (Petaling)
Little League (Petaling)
Piala Kelab Bola Sepak Puchong Fuerza (Petaling)
Gombak FC Grassroots League (Gombak)
Pesta Bola Hulu Selangor (Hulu Selangor)
Tanjung Karang Grassroots Cup (Kuala Selangor)
Klang Grassroot League (Klang)
Karnival Bola Sepak Akar Umbi Kuala Langat (Kuala Langat)
Hulu Langat Grassroots League (Hulu Langat)

SGL2018 ialah sebuah kejohanan bola sepak di bawah kelolaan Football Selangor yang telah diilhamkan oleh DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor. Ia bertujuan untuk mencungkil bakat di kalangan pemain bola sepak dan juga memberi peluang kepada anak-anak muda Selangor untuk mewakili kelab dan pasukan sekolah masing masing.

Sebanyak dua kategori menjadi taruhan SGL2018 pada kali ini. Ia melibatkan kategori bawah 10 tahun (U10) dan kategori bawah 12 tahun (U12).

Sebanyak 24 pasukan akan bertanding di dalam kategori bawah 10 tahun dan 24 pasukan di dalam kategori bawah 12 tahun. Antara perkara unik kejohanan SGL2018 kali ini adalah penampilan empat pasukan perempuan yang layak bertanding di peringkat akhir. Semoga pendedahan ini dapat menarik minat lebih ramai kanak-kanak untuk bermain bola sepak sambil menerapkan gaya hidup sihat di kalangan mereka.

Antara pengisian lain ketika hari perlawanan akhir adalah penampilan khas dari bekas jurulatih serta pemain kebangsaan yang merupakan pemain professional dari Kelab PKNS FC iaitu Datuk K. Rajagobal dan Safee Sali. Selain itu, pasukan PKNS FC juga akan menghantar pencari bakat bagi memantau prestasi pemain-pemain dalam kejohanan tahun ini.

Terdapat juga acara sampingan seperti pelancaran kelab komuniti Selangor Champions League 2018, persembahan buskers serta gerai jualan.

Kejohanan akhir SGL2018 juga lebih bermakna kerana DYTM Tengku Amir Shah Alhaj, Raja Muda Selangor berkenan berangkat untuk menyaksikan perlawanan akhir SGL2018. DYTM Tengku Amir Shah Alhaj, Raja Muda Selangor berasa sangat gembira kerana program pembangunan bolasepak akar umbi ini mendapat sambutan dan sokongan dari semua pihak termasuk rakan-rakan penganjur dan penaja yang terdiri dari kelab komuniti bola sepak disekitar negeri Selangor serta syarikatsyarikat korporat.

Pihak Football Selangor yakin bahawa kejohanan SGL2018 dapat mencapai objektif-objektif yang dikenalpasti dan akan terus berusaha untuk memperkenalkan programprogram
pembangunan yang baru pada masa hadapan bagi meningkatkan mutu sukan bola sepak di Selangor.

PELANCARAN PROGRAM PEMBANGUNAN KELAB BOLA SEPAK KOMUNITI

Program Kelab Komuniti (Community Club) merupakan inisiatif terbaru DYTM Tengku Amir Shah Alhaj dan Football Selangor untuk membangunkan sukan bola sepak negeri Selangor di peringkat akar umbi melalui pemerkasaan komuniti dan penggiat bola sepak tempatan. Antara kelab bola sepak yang berjaya dipilih untuk terlibat dalam program ini termasuklah Club Atletico De Bukit Jelutong, Puchong Fuerza, Shah Alam Antlers, KV United, Gombak FC dan juga Subang City FC.

Matlamat utama projek pembangunan ini adalah untuk menjadikan kelab-kelab amatur di sekitar Lembah Klang lebih inklusif, progresif dan mampan. Matlamat-matlamat ini boleh dicapai melalui penglibatan masyarakat dan komuniti setempat termasuklah penduduk, peniaga dan kerajaan tempatan dalam semua aspek pentadbiran dan pembangunan kelab komuniti.

Pembangunan ini diharapkan dapat berterusan sehingga kelab-kelab amatur ini menjadi sebuah kelab bola sepak professional yang layak bersaing di Liga Super pada suatu hari nanti.

Peranan Football Selangor adalah untuk memudahkan dan menghubungkan kelab-kelab komuniti ini dengan peluang dan sumber yang diperlukan untuk pertumbuhan dan pembangunan mereka.

Antara perkara-perkara yang perlu dipatuhi kelab-kelab amatur untuk mereka layak berada dalam Program Kelab Komuniti adalah pendaftaran kelab dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), mempunyai padang bola sepak sendiri, menubuhkan akademi untuk pembangunan akar umbi dan pasukan pelapis, mempunyai 200 pemain bola sepakl yang berdaftar, mengumpul 1000 tandatangan daripada penduduk setempat, menganjurkan 6 program untuk masyarakat setempat, mengadakan latihan mingguan, mempunyai 4000 pengikut di setiap laman social dan menjana sebanyak RM 2,000.00 daripada jualan produk rasmi kelab.

MENGENAI FOOTBALL SELANGOR

Selari dengan visi dan misi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah untuk mewujudkan sebuah masyarakat belia yang lebih bertenaga dan dinamik di Selangor, Football Selangor ditubuhkan untuk merealisasikan aspirasi Tuanku dalam sukan bola sepak. Football Selangor akan memberi lebih tumpuan kepada perkara yang penting kepada pertumbuhan bola sepak komuniti seperti piawaian, peraturan, pendedahan dan pembangunan. Usaha Football Selangor dalam melaksanakan perkara – perkara yang dinyatakan di atas akan tertumpu kepada aspek pertandingan, pembangunan belia, sosial dan komuniti .

Akhirnya Football Selangor berhasrat untuk memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan kemampanan bola sepak komuniti di Selangor.

Organisasi ini menekankan penglibatan komuniti kerana kami percaya ia merupakan asas utama dalam mengembangkan bola sepak di Selangor dan Malaysia. Pemerkasaan pengurus, pengadil, jurulatih, pemain dan penganjur pertandingan untuk memenuhi potensi mereka penting dalam pembangunan sukan ini.

Selain memperkasakan penggerak bola sepak, Football Selangor juga telah mewujudkan program sendiri seperti Selangor Champions League (SCL), Selangor Football Day, Community Club Program dan lain-lain. Pengenalan program-program ini diharap dapat melengkapkan usaha oleh pihak-pihak yang lain dalam merealisasikan visi dan misi DYTM Tengku Amir Shah.

MENGENAI SELANGOR YOUTH COMMUNITY (SAY)

Pembangunan belia di negeri Selangor di lihat merupakan satu aspek penting di dalam memajukan negeri Selangor dan seterusnya negara kita, Malaysia. Berdasarkan minat dan penelitian yang tinggi, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor
telah berkenan untuk menubuhkan sebuah organisasi yang di namakan Selangor Youth Community (SAY) di mana baginda akan memainkan peranan sebagai Presiden Eksekutif dan juga memegang jawatan sebagai Penaung Di Raja di dalam organisasi ini.

SAY merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan juga pertubuhan bukan berasaskan keuntungan. Penubuhan SAY diharap dapat mengenalpasti jurang serta permasalahan belia di negeri Selangor dan menyediakan platfom untuk menghubungkan belia-belia di negeri ini supaya dapat menyumbang ke arah pembangunan negeri Selangor. Dengan wawasan untuk membentuk generasi belia yang lebih dinamik dan progressif. Baginda telah berkenan untuk membangunkan empat teras utama iaitu:
a) Sukan dan Rekreasi
b) Seni dan Kreatif
c) Keusahawanan dan Perdangangan
d) Khidmat Masyarakat

Fungsi utama penubuhan SAY adalah untuk menganjurkan aktiviti yang dapat membina peribadi, meningkatkan kesetianegaraan serta mewujudkan kesedaran terhadap perlunya menjauhi unsurunsur negatif dikalangan belia. Selain itu, SAY juga merupakan satu pemangkin atau platform yang dapat menggalakkan penyertaan belia di dalam program pembangunan komuniti setempat. SAY juga menjalankan aktiviti tanpa mengira jantina, ras, bangsa, agama dan politik. Untuk maklumat lanjut
mengenai SAY dan aktiviti-aktiviti kami, sila lawati www.selangoryouth.com atau media sosial @selangoryouth di Facebook, Twitter dan Instagram.