Krisis kewangan yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur(PBKL), kini mula mendapat perhatian segenap pihak. Pasukan Kuala Lumpur yang akan beraksi di dalam saingan Liga Super pada musim hadapan, masih mencari-cari tajaan daripada pihak korporat. Walau bagaimanapun, segala usaha yang diketuai Presiden, Datuk Astaman Aziz kini menemui jalan buntu. Sehubungan dengan itu, para penggiat bola sepak telah melancarkan kempen “Selamatkan PBKL” untuk mengurangkan beban pihak persatuan itu.

Individu/kumpulan yang berminat untuk menyumbang terhadap kempen ini, boleh tampil hadir mengikut butiran berikut;

Tarikh : 17 Disember 2011 (Sabtu)
Masa : 10 Pagi
Tempat : Di hadapan perkarangan Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur.

Kehadiran para penyumbang akan disambut oleh Setiausaha PBKL, iaitu Nokman Mustaffa. Pengiraan wang akan dikira secara bersama-sama untuk menjamin ketelusan proses tersebut sebelum diserahkan kepada pihak persatuan.

Objektif kutipan ini ialah untuk membantu pasukan Kuala Lumpur dalam program pengurusan dan pembangunan bola sepak negeri, serta agar dapat bertahan di dalam arena bola sepak tempatan sementara mereka mencari tajaan bagi mengukuhkan sektor kewangan pasukan. Persatuan hanya menerima bantuan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebanyak RM600 ribu, dan tidak cukup untuk menjalankan pengurusan dan pembangunan bola sepak, terutamanya di peringkat akar umbi. Persatuan masih gagal mencari penaja yang ingin melaburkan wang ke atas pasukan walaupun pasukan bertapak di ibu kota negara.

Diharapkan para pencinta bola sepak tempatan serta pihak yang ingin menyumbang sudi untuk memberi sumbangan, walau sekecil manapun sumbangan anda.