Connect with:




Agak terkejut mendengar berita buruk yang melanda Persatuan Kriket Malaysia (MCA) ini.

MCA boleh disifatkan antara persatuan sukan terbaik di Malaysia dengan pengurusan efisien berjaya membawa kriket Malaysia diiktiraf di persada antarabangsa.

Venue utama kriket Malaysia iaitu Kinrara Oval telah menerima banyak pengiktirafan untuk menganjurkan acara-acara berprestij di peringkat Asia dan dunia.

Namun, minggu ini, MCA telah diarahkan oleh pemaju yang sebelum ini meminjamkan tanah tersebut untuk mengosongkannya bagi tujuan pembangunan.

Ini sememangnya satu tamparan hebat mengambil kira kejayaan hasil kerja keras MCA dalam menjadikan Kinrar Oval sebagai hub kriket Asia.

Berita ini sekaligus menjejaskan persiapan Malaysia untuk menjadi venue berkecuali bagi perlawanan-perlawan test antarabangsa melibatkan pasukan gergasi dunia seperti yang telah dirancang sebelum ini.

Ketika ini, MCA mengharapkan ada jalan penyelesaian selepas memohon campur tangan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari.

Ketika ini berlangsungnya acara kelayakan ICC Dunia T20 zon Asia B dengan Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan. Dua venue yang digunakan adalah Bayuemas Oval dan UKM Oval.

Kriket masih boleh dimainkan di lain-lain venue namun jika Kinrara Oval terpaksa dikosongkan demi pembangunan, ia amat mendukacitakan buat pengikut sukan kriket negara kerana Kinrara Oval adalah rumah untuk kriket Malaysia.

Semoga Kinrara Oval dapat diselamatkan demi sukan kriket negara.

 

KREDIT FOTO: Peter Lim (MCA)