Pepe Kini Milik Besiktas

Pemain skuad Portugal, Pepe, menamatkan aksinya selama 10 tahun bersama kelab Real Madrid selepas mengumumkan pemindahannya ke kelab juara Turki iaitu Besiktas, pagi tadi.

Pemain kelahiran Brazil itu baru sahaja berusia 34 tahun telah menyertai Real Madrid pada tahun 2007 dengan nilai 30 juta euro (RM 146.4 juta).

Pepe telah memberi prestasi yang baik sepanjang beliau berada di Real Madrid dan berjaya menjulang trofi La Liga pada musim pertamanya.

Melalui kenyataan laporan media Turki, kontrak Pepe bersama Real Madrid telah tamat pada bulan lalu dan beliau menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Besiktas.

Beliau meninggalkan Real Madrid selepas meraih tiga gelaran La Liga, dua Piala Raja Sepanyol diikuti tiga piala Liga Juara-Juara, walaupun terlepas aksi final menentang Juventus akibat kecederaan tahun ini.

Selain itu, Pepe melakukan 86 penampilan untuk Portugal dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan pada final Euro 2016 ketika mereka menewaskan Perancis.

Walau bagaimanapun, aksi Pepe yang begitu konsisten dan semangat juang yang tinggi sentiasa diingati penyokong Real Madrid.