Connect with:




Teka-teki sudah terjawab!

Bukan Johor, bukan Perlis mahupun Terengganu, bekas penggempur Kedah dari Kosovo, Liridon Krasniqi (Mat Don) akhirnya sah mengikat kontrak bersama Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) bagi mengudi Melaka United pada saingan Liga Malaysia 2019.

Spekulasi mula hangat apabila gambar pemain berkenaan menjalani latihan bersama-sama pasukan tersebut baru-baru ini dimuat turun dalam laman Facebook Melaka United dan sudah tular di media sosial.

Menerusi laman Facebook mereka juga menyaksikan pengesahan Mat Don sebagai tonggak baharu Melaka United itu dilakukan dalam satu majlis ringkas menandatangani para pemain import baharu yang berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Melaka United turut memberitahu kehadiran Liridon, 27 tahun menyaksikan dia kembali bekerjasama dengan bekas jurulatihnya ketika di Kedah, Nidzam Adzha Yusof  dandikatakan mampu memperkuatkan bahagian serangan Skuad Hang Tuah dengan gandingannya bersama seorang lagi penyerang import yang baru dibawa masuk, Casagrande.

“Liridon menjadi antara watak penting ketika membantu Kedah menjuarai Piala Malaysia pada 2016 selain turut membantu Kedah muncul juara Liga Premier pada 2015 sekaligus membantu Skuad Lang Merah itu kembali ke saingan Liga Super pada musim berikutnya.

“Sepanjang bersama Kedah, beliau turut membantu Kedah menjuarai Piala FA pada 2017 dan Piala Sumbangsih pada tahun yang sama.”

Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) mengucapkan selamat datang kepada bekas penggempur Kedah dari Kosovo, Liridon Krasniqi…

Posted by Melaka United Soccer Association – MUSA on Isnin, 21 Januari 2019


Sepanjang kariernya, Liridon pernah beraksi bersama beberapa pasukan bermula dengan kelab Republik Czech, FK Mladá Boleslav pada 2011 sebelum menyertai beberapa kelab Turki seperti Fethiyespor dan Osmanlıspor sebelum menyertai Kedah pada 2015.

Mampukah Liridon membawa watak penting bagi menggerunkan suasana Stadium Hang Jebat selain membantu skuad Hang Tuah kembali menyengat sepanjang Liga Malaysia musim ini?

Foto: Facebook Melaka United