Connect with:




Kejayaan menyambar dua bekas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim serta Shukor Adan nampaknya membakar semangat Melaka United (MU) untuk memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019 dengan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya Piala FA atau Piala Malaysia menjadi milik mereka.

Selain Safiq dan Shukor, MU turut berjaya mengrekrut Razman Roslan, Nazrin Nawi, R. Gopinathan, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman, Saiful Ridzuwan Selamat dan Mohd Raimi Md Nor bagi mengharungi LIga M musim hadapan.

Sasaran itu dilihat amat relevan dengan adanya bekas pengendali Pahang dan juga Selangor, Zainal Abidin Hassan yang digandingkan dengan bekas pengendali Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff sebagai pembantu kepada beliau.

Mengambil kira faktor nama-nama besar yang telah dibawa masuk bagi mengharungi saingan Liga M musim 2019, sasaran berkenaan diletakkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi.

“Dengan barisan yang agak kuat ini, kita juga memasang impian untuk cuba merangkul sekurang-kurangnya satu kejuaraan samada Piala FA atau Piala Malaysia bagi musim 2019,” jelasnya kepada Bernama.

Ketika diajukan soalan mengenai pemain import yang bakal menyarung jersi skuad Hang Tuah bagi musim depan, Datuk Mahadi memberitahu bahawa mereka memang sedang dalam penilaian beberapa pemain dan tidak mahu membuat keputusan mendadak.

“Buat masa sekarang, kita lengkapkan dahulu senarai pemain tempatan sementara pemain import pula, barisan kejurulatihan masih lagi menilai beberapa pemain yang bakal dibawa masuk kerana kita mahu pemain lebih baik serta berkualiti yang mampu membantu pasukan ini,” jelasnya.

Menurut laporan Bernama, Melaka United telahpun menggugurkan empat pemain import mereka, namun seorang pemain yang mengisi kuota asia iaitu Lee Chang Hoon masih lagi dalam perbincangan untuk dikekalkan atau tidak.

Bagi saingan musim 2018, Melaka United mengakhiri saingan Liga Super Malaysia dengan menghuni tangga ke-7 liga, sementara untuk saingan Piala FA, mereka terpaksa akur terkandas di pusingan ketiga dan berpuas hati di kedudukan ketiga Kumpulan B untuk saingan Piala Malaysia.

 

Foto : Facebook Melaka United Soccer Association

Sumber : Bernama