Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Datuk Hj. Omar bin Abdul Rahman merasmikan sekretariat SUKIPT 2012

 

Sukan Insititut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 yang julung kali diadakan pada 28 Oktober hingga 11 November ini dijangka akan dapat berjalan lancar dengan adanya sekretariat kejohanan yang telah drasmikan semalam bertempat di UPM, Serdang.

Majlis perasmian sekretariat SUKIPT 2012 ini disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Hj. Omar bin Abdul Rahman. Dalam majlis tersebut, Omar berkata beliau yakin pasukan sekretariat yang telah dibentuk dapat memberi kelancaran sepanjang SUKIPT 2012 berlangsung.

“Berdasarkan segala kemudahan dan kelengkapan yang ada di Pusat Sekretariat ini, saya percaya kita sudah bersedia 100  peratus untuk menganjurkan SUKIPT edisi pertama ini” kata Omar kepada pemberita.

Menariknya dalam sekretariat ini adalah terdapatnya Jawatankuasa Pemilihan Atlit yang dibentuk untuk mengenalpasti atlit-atlit berpotensi yang boleh diserapkan dalam kontingen negara pada Sukan Universiti Asean (AUG) dan Sukan Universiti Dunia (WUG) nanti.

“Jawatankuasa ini terdiri daripada golongan berpengalaman dan pakar dalam setiap jenis sukan dan saya pasti kita akan dapat mengenalpasti prospek-prospek baru yang boleh diketengahkan pada masa hadapan” ulas ketua sekretariat SUKIPT, Roestam Effendi Sijar.

Selaku ketua sekretariat, Roestam juga turut ditanya apakah cabaran terbesar yang bakal dihadapi pasukannya sepanjang kejohanan ini berlangsung.

“Ini kali pertama SUKIPT diadakan dan dengan 101 kontingen mengambil bahagian, saya pasti itu menjadi satu cabaran besar buat kami. Namun saya percaya kami mampu melaksanakan tugas ini sebaik mungkin dan sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini” jelas Roestam lagi.

SUKIPT akan diadakan di IPT sekitar Lembah Klang dengan hampir 14 000 atlit akan berkumpul untuk bertanding dalam 15 jenis sukan termasuk olahraga, renang, rugbi dan lain-lain.

Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web rasmi kejohanan iaitu www.sukipt.com.my.