Connect with:




Bagi mereka yang aktif dengan program pembangunan bolasepak di kalangan remaja, pasti anda pernah mendengar kejohanan Gothia Cup yang dilangsungkan di Sweden.

Kejohanan ini terkenal dengan jolokan “Piala Dunia untuk kanak-kanak” kerana menjadi acara bolasepak terbesar untuk remaja dan telah mula dianjurkan sejak 1975 lagi. Tahun ini, 1731 pasukan dari 78 negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang mempunyai 18 kategori ini.

Malaysia juga tidak ketinggalan menyertai kejohanan yang dibawa syarikat pembuatan bearing terkemka iaitu SKF. Diwakili SMK Dato’ Abdul Samad dari Negeri Sembilan, wakil negara jelas tidak mengecewakan dalam kategori bawah 14 tahun – kategori yang mempunyai penyertaan terbanyak dengan 188 buah pasukan menyertainya.

Diletakkan dalam kumpulan 20, SMK Dato’ Abdul Samad berjaya membelasah pasukan tuan rumah Stureby SK dengan jaringan 5 gol tanpa balas. Pada perlawanan kedua, mereka menewaskan PDSA Sussex dari England dengan kemenangan tipis 1-0.

SMK Dato’ Abdul Samad kemudiannya bertemu satu lagi wakil Sweden iaitu GAIS dan kali ini, mereka mengutip 1 mata selepas seri tanpa jaringan untuk muncul juara peringkat kumpulan.

Dalam pusingan kalah mati pertama yang menempatkan 64 pasukan terbaik, wakil negara berjaya A.S Mexico dari Mexico dengan keputusan 3-1. Perjalanan SMK Dato’ Abdul Samad bagaimanapun terhenti pada pusingan kedua kalah mati (32 terbaik) selepas tewas kepada SKF Bulgaria yang kemudiannya muncul naib juara kejohanan. Pemenang kategori bawah 14 ini dimenangi oleh Lizzy Football Club dari Ghana.

Bagi jurulatih pasukan, Abdul Hamid Mukdan berkata, beliau berbangga dengan pencapaian para pemainnya yang telah memberi usaha terbaik dalam kejohanan ini.

“Kami berjaya mememenangi pusingan kelayakan di Malaysia buat pertama kalinya tahun ini. Peluang beraksi di peringkat antarabangsa sememangnya satu pengalaman terbaik buat para pemain saya” katanya.