Penjaring gol kemenangan Wigan, Will Grigg

Jaringan tunggal Will Grigg pada mint ke-79 sudah cukup untuk membantu Wigan Athletic mara ke suku akhir Piala FA apabila menewaskan pendahulu EPL, Manchester City 1-0 awal pagi tadi yang berlangsung di Stadium DW.

Kekalahan skuad Pep Guardiola ini juga menyaksikan ‘badi’ Man. City kepada Wigan berterusan apabila mereka pernah tewas kepada lawan yang sama dalam perlawanan akhir Piala FA pada tahun 2013.

Sebelum tamat separuh masa pertama, pemain pertahanan Man. City, Fabian Delph di layangkan kad merah apabila melakukan terjahan keras kepada pemain Wigan, Max Power.

Biarpun Man. City mengawal hampir keseluruhan permainan dengan asakan demi asakan dalam mencari gol dan pujian harus diberikan kepada pemain Wigan terutama penjaga gol mereka, Christian Walton yang berjaya menyelamatkan beberapa peluang terbaik Man. City.

Dalam perlawanan ini juga berlaku beberapa insiden yang melibatkan Man. City seperti Pep Guardiola bertikam lidah dengan pengurus Wigan, Paul Cook dan penyerang mereka, Sergio Aguero yang terlibat dalam pergaduhan bersama penyokong.

Kejayaan sebuah kelab kerdil atau kecil mengalahkan kelab besar sudah tentu merupakan satu kejayaan yang membanggakan para pemain serta penyokong dan sebab itu, apabila pasukan mereka diundi bertemu dengan pasukan gergasi EPL, ia merupakan keseronokan kepada para penyokong.

Foto Kredit : FB Wigan Athletic