Pemain skuasy remaja Malaysia mencipta sejarah pada kejohanan Terbuka Remaja British (BJO) 2018 apabila buat pertama kali meraih empat gelaran, sebentar tadi.

Pemain berusia 12 tahun, K Sehveetrraa yang membuat penampilan sulung pada BJO memulakan hari cemerlang skuad Malaysia apabila merangkul kejuaraan kategori Bawah 13 Wanita.

Pemain kelahiran Kedah itu meraih gelaran berprestij berkenaan selepas menewaskan pemain Mesir, Fayrouz Abouelkheir 11-7, 11-9, 11-9 dalam masa 26 minit pada perlawanan yang berlangsung di Birmingham.

Pemain pilihan ketiga-keempat itu mara ke final selepas menyingkirkan pilihan kedua, Malak Taha dari Mesir 11-8, 11-5, 11-7 pada aksi separuh akhir, semalam.

Pencapaian cemerlang skuad Malaysia pada kejohanan itu diteruskan menerusi pemain adik beradik, Aira dan Aifa Azman, apabila masing-masing memenangi kategori Bawah 15 dan 17 Wanita.

Bagi kategori Bawah-15, Aira meraih kejuaraan itu selepas pegawai perlawanan membatalkan aksi pemain Mesir, Sana Ibrahim pada set kelima, menurut Twitter rasmi kejohanan berkenaan, @BJOsquash.

Selepas empat set berakhir dengan kedudukan 11-8, 11-5, 10-11, 6-11, pemain Malaysia berusia 13 tahun itu ketinggalan 2-4 pada set penentuan, sebelum aksi pemain Mesir itu dibatalkan.

Pemain Malaysia itu mara ke final selepas mengejutkan pemain tuan rumah, Katie Maliff 8-11, 11-9, 6-11, 11-5, 13-11, pada perlawanan separuh akhir dan pilihan utama, Nour Aboulmakarim dari Mesir pada aksi suku akhir.

Sementara itu, Aifa meraih gelaran ketiganya pada BJO, dengan mengejutkan pilihan utama Marina Stefani dari Amerika Syarikat 11-7, 11-5, 11-9 dalam aksi yang berlangsung 27 minit.

Sebelum ini, pemain berusia 16 tahun itu memenangi gelaran BJO bagi kategori Bawah 13 dan 15 Wanita, masing-masing pada 2014 dan 2016.

Pemain nombor dua negara, S Sivasangari melengkapkan kemenangan bergaya skuad Malaysia dengan meraih kejuaraan keduanya pada kejohanan itu selepas menumpaskan pemain Jepun, Satomi Watanabe 12-10, 11-7, 11-9 dalam kategori Bawah 19 Wanita.

Terdahulu, pemain kelahiran Kedah berusia 18 tahun itu yang sebelum ini memenangi kategori Bawah 15 pada 2014, mengalahkan pemain England Elise Lazarus 11-8, 11-3, 13-11 dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

Sumber: Bernama

Foto Kredit: Dunlop British Open