Jika disoal mengenai berat badan, pastinya ada sesetengah orang yang tidak mahu menjawab soalan tersebut. Adakah kerana berat badan berlebihan atau tidak tahu cara menimbang dengan betul.

Sebelum ini kita ingat mudah sahaja nak ambil berat badan ni. Naik atas penimbang, terus dapat bacaan berat badan kita. Selain daripada tu, kita main timbang saja kan? Sebenarnya terdapat beberapa cara untuk dapatkan bacaan berat badan paling tepat dan terbaik.

Cara-caranya:

1. Timbang berat dengan penimbang yang sama. Jangan menggunakan penimbang yang berlainan kerana akan menyebabkan kiraan berat yang tidak sama.

2. Bagi memastikan keputusan hasil timbangan berat badan adalah tepat, pastikan kita berdiri dalam keadaan yang stabil. Pastikan juga kita tidak bergerak, berjingkit, menaikkan satu kaki atau bersandar pada sesuatu.

3. Jangan timbang berat setiap hari kerana akan menyebabkan seseorang mendapat tekanan apabila melihat hasil yang tidak memuaskan.

Waktu Perlu Dielakkan Untuk Timbang Berat Badan

Adalah lebih baik elakkan menimbang berat pada semasa kedatangan haid (period) bagi wanita. Ini kerana, sewaktu datang bulan, terdapat gangguan hormon.

Selain jiwa kacau (emosi tak stabil), badan juga menyerap lebih banyak air. Oleh sebab itu berat badan kita berkemungkinan boleh bertambah sehingga 1-2 KG.

Bagi wanita, waktu yang sesuai untuk timbang ialah selepas seminggu datang bulan. Ini kerana, pada waktu tersebut, keadaan tubuh telah kembali seimbang.

Elakkan menimbang badan pada waktu malam kerana ini waktu berat badan paling maksimum berbanding pagi yang minima.

Contoh Masa Timbang Berat Badan Yang Sesuai

Menurut Perunding Kesihatan, Pemakanan dan Kecergasan, Kevin Zahri, masa timbang yang sesuai adalah pada waktu pagi selepas buang air kecil. Jadi kalau nak timbang berat badan hari-hari, pastikan ia pada waktu pagi, selepas bangun, sebelum makan sarapan dan selepas buang air kecil dan kalau boleh pada masa yang lebih kurang sama.