Masalah yang dihadapi penggiat sukan papan selaju di Malaysia diakhiri dengan tertubuhnya sebuah syarikat swasta, Skateboarding Development Malaysia (SDM) untuk memastikan segala masalah dalam sukan ini dapat diatasi dengan lebih sistematik.

Hal in kerana, sukan papan selaju selama ini ditadbir oleh persatuan yang ahlinya bukan dalam kalangan atlet sukan itu sendiri.  Masalah ini mengakibatkan organisasi tersebut tidak memainkan peranan dalam membangunkan sukan ini.

“Persatuan tidak melakukan apa-apa kerana mereka tiada ‘passion’ dalam sukan papan selaju dan semuanya kami ( penggiat sukan papan selaju ) melakukan semuanya sendiri.”  Kata Abdulazeez Wan Ruslan, Ketua Pegawai Eksekutif SDM dan juga pengerusi bagi Persatuan Pembangunan Kemajuan Skateboard (PPKSM).

Sukan yang dianggap berbahaya untuk remaja kini telah diiktiraf sebagai sukan arus perdana apabila sukan ini telah diputuskan sebagai salah satu sukan dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Memetik ayat daripada Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, di laman Twiiter beliau,“ Kini kita mencari atlet Malaysia dalam sukan papan selaju dan haruslah bergiat sepenuhnya untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020”.

Justeru, SDM kini merancang pelbagai aktiviti dalam mencari dan mengasah bakat baharu untuk dijadikan atlet dalam sukan papan selaju.  Dengan bantuan beberapa veteran seperti Pa’din dan Johary Fitry, mereka dapat membantu SDM untuk melatih dan membantu dalam menghasilkan skaters yang berkualiti setanding dengan skaters luar negara.

SDM akan menganjurkan festival papan selaju terbesar di Malaysia, Grazrootz Skatefest di Anjung Floria Putrajaya pada 23 & 24 September untuk mempromosikan sukan ini di Malaysia.  Acara ini dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan pembabitan peluncur skateboard paling ramai dan bertujuan untuk mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book Records.

Bukan terhenti disitu sahaja, PPKSM giat menjalankan liga skateboard komuniti (LSK) untuk mecari pelapis dalam sukan ekstrem ini.  Liga yang dijalankan di sekitar Sungai Besi dan Shah Alam adalah satu-satunya acara yang dianjurkan setelah sekian lama tiada aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan sebelum ini.

Bagi penggiat sukan papan selaju, SDM telah membangunankan perisian aplikasi mudah alih ‘Skateboard App’ untuk memudahkan penggiat papan selaju mendaftar untuk kejohanan dah mencari lokasi-lokasi gelanggang papan selaju di Malaysia.

Foto Kredit: Skateboarding Development Malaysia (SDM)