SEPANG, – Jurulatih Thailand Winfried Schafer mahu anak buahnya meraih keputusan baik terhadap Harimau Malaya pada pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Ahad ini.

Beliau berkata keputusan baik di sini akan membolehkan mereka membawa bekalan selesa pada pertemuan timbal balik di gelanggang sendiri di Stadium Supachalasai, Bangkok, pada 13 Dis ini.

“Malaysia merupakan pasukan yang baik dan harap pemain saya dapat menampilkan persembahan terbaik masing-masing untuk sekurang-kurangnya mendapat keputusan seri atau membawa pulang bekalan selesa,” katanya yang tiba bersama pasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam ini.

Thailand layak ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan A dengan mengumpul sembilan mata manakala skuad Harimau Malaya muncul naib juara dalam Kumpulan B dengan enam mata.

Jurulatih berusia 62 tahun berbangsa Jerman itu berkata semua pemain bebas dari kecederaan namum tidak memperkecilkan skuad kebangsaan yang turut memiliki pemain yang boleh menggantikan pemain tonggak yang cedera.

Schafer berkata perlawanan persahabatan antara kedua-dua pasukan itu di Bangkok pada 7 Nov lepas tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk menilai keupayaan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal.

“Walaupun kita menang 2-0 pada perlawanan persahabatan itu tetapi Malaysia telah menunjukkan kebangkitan selepas itu dan kami perlu berhati-hati,” katanya.  Turut berkongsi pandangan jurulatih itu ialah penyerang berbisa, Teerasil Dangda yang berhasrat mengulangi jaringan hatrik semasa bertemu Myanmar pada perlawanan kumpulan apabila bertemu Harimau Malaya.

“Saya datang ke sini untuk mencapai keputusan baik tetapi tidak mahu memandangkan rendah Malaysia selaku juara bertahan,” katanya.  Penyerang pasukan Muang Thong FC itu berkata walaupun pasukannya tidak menjuarai Piala AFF sejak 10 tahun lepas namum ia tidak memberi tekanan kepada beliau malah keutamaannya adalah untuk membantu Thailand melangkah ke final.

“Saya juga tidak memikirkan untuk merangkul anugerah Kasut Emas tetapi keinginan saya adalah lebih kepada kejayaan negara pada kejohanan tahun ini,” jelasnya. – BERNAMA.