Connect with:




Pengendali sementara pasukan Argentina, Lionel Scaloni bakal menerima tawaran untuk membimbing pasukan itu secara sepenuh masa apabila Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA)  bersedia menawarkan kontrak tetap untuk membimbing pasukan naib johan Piala Dunia 2014 itu mengharungi saingan Copa America di Brazil, tahun depan.

Scaloni telah diberikan tugas sebagai pengendali sementara , susulan pengunduran Jorge Sampoli yang meninggalkan pasukan  berpunca dari persembahan buruk dipamerkan pada Piala Dunia 2018 di Russia.

Argentina tersingkir dari saingan berprestij itu di peringkat pusingan 16 terakhir apabila tunduk di tangan pasukan juara, Perancis. Keputusan itu menyaksikan Sampoli membuat keputusan meninggalkan pasukan.

Presiden AFA, Claudio Tapia hari ini menerusi media sosial memberitahu pihak AFA senang dengan cara kerja Scaloni dan mereka bersedia memberi kesempatan kepadanya.

“Adalah penting untuk kami mengetahui apa yang kita semua mahu untuk pasukan dan kami lihat, pasukan kebangsaan memerlukan Scaloni.

“Melihat kepada cara Scaloni berkerja dengan seluruh pasukan, kami akan memintanya untuk meneruskan tugasan beliau sehingga Copa America,” jelas Tapia.

Scaloni adalah bekas pemain pertahanan yang pernah menyarung jersi kelab Lazio, West Ham United dan Deportivo La Coruna.

Biarpun mempunyai pengalaman pernah mengambil alih sementara tugas mengemudi pasukan kebangsaan bawah 20 tahun, pemilihan Scaloni sedikit menimbulkan keraguan kerana pengendali tersebut agak cetek pengalaman kejurulatihan.

Namun begitu, empat kemenangan pada aksi persahabatan, satu seri dan tewas 0-1 di tangan Brazil menerusi enam perlawanan, Scaloni membuktikan bahawa beliau mempunyai sentuhannya tersendiri.

Kesemua kemenangan itu bagaimanapun tanpa kehadiran pemain terbaik dunia lima kali, Lionel Messi yang meminta untuk dikecualikan dari sebarang perlawanan antarabangsa hingga akhir tahun ini.