Connect with:




 

Kedah memperoleh kemenangan pertama setelah menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) 1-0 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dalam perlawanan yang berlangsung petang semalam.

Gol tunggal perlawanan dihasilkan oleh pemain bawah 23 negara, Akhyar Rashid pada minit ke-84 hasil larian deras di sebelah kiri oleh pemain yang baru ditandatangani oleh Kedah iaitu Andik Vermansyah.

Andik tiba di Alor Star pada 9 Februari lepas. – Foto kredit KFA

“Saya terkejut kerana diberi peluang oleh coach (Ramon Marcote) main dalam kesebelasan utama lebih awal. Hal ini kerana saya sudah 2 bulan tak pernah sertai latihan mana-mana pasukan dan tiada perlawanan selama 2 bulan. Tapi alhamdulilah saya sebagai pemain harus profesional dan selalu berlatih di rumah dan saya sendiri tidak percaya juga boleh tahan main sampai minit 87  dalam cuaca panas sebegitu.” ujar pemain yang berasal dari Indonesia itu ketika dihubungi oleh Dunia Sukan.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana menyertai pasukan yang mempunyai rakan-rakan dan penyokong yang sangat mesra.

“Jujur saya sangat terima kasih kepada rakan sepasukan dan penyokong Kedah yang  menyambut baik kedatangan saya kesini. Mereka membuatkan saya seolah-olah sudah 3 tahun berada bersama pasukan.”

Kemenangan ini merupakan yang pertama buat Skuad Hijau Kuning setelah gagal memperoleh kemenangan dalam kempen Liga Super setelah tewas kepada JDT (2-1) dan Perak (3-1).

Andik Vermansyah yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Selangor dari musim 2013 hingga 2017 tiba di Alor Star pada 9 Februari untuk mengisi kuota pemain Asean pasukan Helang Merah itu.

Kredit foto : Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)