logo-FAM

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa baginda tidak akan berundur daripada jawatannya selagi khidmatnya diperlukan oleh badan induk itu.

Titahnya, baginda tidak boleh menghalang pihak-pihak tertentu membuat desakan supaya baginda berundur daripada jawatan itu kerana negara ini mengamalkan kebebasan bersuara.

“Selagi saya dikhendaki dan ada pihak yang tidak mahu bagi saya berundur
diri…saya masih jadi Presiden FAM,” titahnya kepada pemberita sebaik kembali
dari luar negara di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari
ini.

Kepulangan baginda disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan
Yaakob serta 103 orang yang menamakan diri sebagai ‘Penyokong Sultan Ahmad
Sebagai Presiden FAM’.

Sultan Ahmad Shah bertitah baginda akan mengadakan mesyuarat exco FAM minggu depan bagi membincangkan soal memperbaiki dan meningkatkan kedudukan skuad bola sepak negara di persada antarabangsa.

“Mesyuarat exco itu bukan pasal mahukan pengunduran saya tetapi kita nak
memperbaiki kedudukan bola sepak negara,” titahnya.

Baginda bertitah FAM sentiasa berusaha memperbaiki mutu permainan, kualiti
pemain, jurulatih serta mencungkil bakat baharu bagi mengangkat semula maruah
dan mutu bola sepak negara.

“Main bola ada menang, ada kalah, kalau menang saja dengan orang lain tak payahlah kita berlawan, (untuk kejohanan) AFF (Suzuki Cup) baru-baru ini nasib
kita tak berapa baik.

“I’m a fighter (Saya adalah pejuang)….kita lawan, kita ada ramai pemain yang masih lagi tidak dikemukakan, jangnlah ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelangga’,” titahnya.

Baru-baru ini beberapa pihak mendesak supaya baginda meletak jawatan tersebut dan memberi peluang kepada pemimpin baharu yang mempunyai banyak visi dan idea segar dalam memartabatkan bola sepak negara.

Perkara itu turut menjadi perhatian beberapa bekas pemain kebangsaan
yang meluahkan perasaan sama dengan berharap berlaku transformasi dalam
pengurusan bola sepak Malaysia.

Dalam pada itu, seramai 103 individu dari seluruh negara telah berkumpul di Pangkalan TUDM Kuantan bagi menyambut kepulangan baginda bagi menzakirkan tanda sokongan mereka kepada kepimpinan baginda dalam FAM.

Hafizan Hassan, selaku Pengerusi Badan Bertindak Penyokong Sultan Ahmad Shah
itu, berkata tujuan perhimpunan itu adalah untuk menyampaikan tanda sokongan
mereka kepada kepimpinan baginda.

“Kami tidak mahu Tuanku berundur dengan desakan seperti banyak pihak yang
mahukan sekarang ini dan kami yakin Tuanku mampu membawa FAM dengan lebih baik,” katanya.

Katanya, kumpulan berkenaan turut bercadang mengadakan perhimpunan yang
lebih besar bagi melahirkan sokongan kepada Presiden FAM itu. Bagaimanapun, tarikh dan tempat perhimpunan itu masih belum ditetapkan. – BERNAMA.