Connect with:




Tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun diperlukan ketua jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek untuk membentuk jaguh bertaraf dunia bagi acara perseorangan lelaki.

Menurut bekas pemain perseorangan negara itu, beliau perlu melakukan hal sama sepertimana dilakukan ketika membimbing Datuk Lee Chong Wei suatu ketika dulu dan Chong Wei mengambil masa lima tahun untuk tampil sebagai pencabar utama dunia.

Beliau berkata, buat masa ini Malaysia mempunyai pemain berpotensi seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Tan Jie Wei namun mereka masih perlu berkerja lebih keras untuk mencabar peringkat tertinggi.

“Setelah kembali bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia) setahun lalu, saya melihat ada beberapa pemain berpotensi dan boleh diketengahkan. Bagi membentuk mereka menjadi jaguh handalan dunia seperti Chong Wei, kita harus bersabar.

“Sebagaimana saya membimbing Chong Wei dulu, tempoh lima tahun diambil bagi membentuk  dan menjadikannya nama besar di pentas antarabangsa. Saya baru setahun kembali ke BAM dan sejujurnya saya masih perlukan waktu untuk membentuk pemain yang kita hajatkan,” ujar Misbun.

Skuad badminton negara kian terdesak dalam usaha melahirkan jaguh dunia acara perseorangan lelaki ditambah pula Chong Wei yang sering kali bertindak sebagai penyelamat disahkan menghidap kanser hidung tahap awal.

Masa depan wira badminton negara berusia 36 tahun itu masih samar dan belum ada pengesahan sahih samaada beliau akan kembali ke gelanggang.