“Bagi saya, selagi belum diumumkan senarai akhir pemain ke Piala AFF Suzuki, saya masih mampu bersaing dan perlu tingkatkan prestasi semasa saya,” itulah yang diungkapkan oleh penyerang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zaquan Adha Abdul Razak tatkala ditanya mengenai statusnya dalam skuad kebangsaan ketika ini.

Zaquan sekali lagi disisihkan Datuk K. Rajagobal dalam skuad kebangsaan terkini yang bakal menentang Sri Lanka dan baginya, dia tidak terkejut keputusan jurulatih untuk tidak menyenaraikannya kerana sedar prestasinya yang kurang memberansangkan bersama ATM.

“Saya akui kecederaan lama masih mengganggu fikiran saya,” jelas Zaquan yang mengatakan ada mengikuti sesi bersama kaunselor untuk mengembalikan kekuatan dirinya terutama dari segi mental. Ini kerana kecederaan lamanya masih menghantui fikirannya dan turut mengganggu prestasinya di padang.

Sudah menjaringkan empat gol setakat ini dalam aksi Liga Malaysia musim ini, Zaquan sebenarnya tidak memandang serius jumlah jaringan yang telah dilakukannya. Ini kerana dia perlu fokus untuk mengembalikan dirinya ke tahap prestasi yang baik dan meningkatkan keyakinan diri.

Menurutnya lagi, dia sedia beraksi di posisi lain sekiranya diberikan peluang asalkan latihan untuk posisi tersebut dibuat sebelum perlawanan. Katanya, ketika ini dia kerap beraksi di posisi sayap untuk pasukannya, ATM dalam aksi Liga Perdana.

Rajagobal memilih untuk memberikan peluang buat penyerang Pahang, Azamuddin Akil serta Ahmad Hazwan Bakri dari Harimau Muda A untuk memperkuatkan jenteran serangan yang turut dibarisi Safee Sali dan Ahmad Shakir Ali untuk melayan kunjungan Sri Lanka di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.