Connect with:




David de Gea mahu penjelasan mengenai plan Jose Mourinho pada musim depan di Manchester United sebelum dia bersetuju menandatangani kontrak baharu.

Hal ini ekoran kelab gergasi berkenaan telah memperbaharui kontrak lanjutan selama setahun untuk penjaga gol terbaik dunia itu.

Media Britain turut melaporkan de Gea yang ingin untuk terus kekal di Old Trafford menggesa Mourinho untuk memberikan penjelasan yang terperinci mengenai hala tuju kelab selepas United dilihat bergelut musim ini dalam usaha mereka untuk menduduki kemuncak empat teratas, apalagi menguti sebarang gelaran.

Dalam pada itu, kontrak penjaga gol Sepanyol itu dijadual berakhir pada penghujung musim ini dan tanpa mengaktifkan sebarang klausa lanjutan, dia boleh mengadakan perbincangan dengan kelab lain selepas jendela perpindahan Januari dibuka.

Dia juga sudah lama dikaitkan dengan beberapa kelab terbaik di Eropah seperti PSG, tetapi mengakui tidak mempunyai sebarang kesulitan untuk terus bersama United untuk sekurang-kurangnya sehingga penghujung musim 2019/20.

Pemain berusia 28 tahun itu menyertai United dari kelab La Liga, Atletico Madrid sejak tujuh tahun lepas dengan nilai dilaporkan 18.9 juta pound (RM101.10 juta) pada Jun 2011.

Foto: David De Gea