Jaguh tenis Sepanyol, Rafael Nadal menganggap dia tidak berasa tua kerana semakin menghampiri gelaran ke-11 Terbuka Perancis selepas menewaskan lawannya untuk melangkah ke suku akhir.

Nadal, 32, menewaskan wakil Jerman, Maximilian Marterer 6-3, 6-2, 7-6 (7/4) untuk menyamai rekod 12 penampilan di suku akhir Roland Garros.

Pemain nombor satu dunia itu meraikan ulang tahun kelahiran ke-32 kelmarin, berada dalam  senarai tiga pemain yang melakar kemenangan paling banyak Grand Slam dengan 234.

“Saya tua? Tidaklah.

“Saya sudah 32 tahun. dan saya berada di sini sejak 2003, ia satu perjalanan yang jauh,” ujarnya.

“Saya gembira berada di sini. Saya bermula dari usia yang sangat muda. Jadi saya menikmati hari demi hari dalam siri jelajah ini,”.

Lawan Nadal di suku akhir adalah Diego Schwartzman dari Argentina yang menampilkan persembahan cemerlang selepas menewaskan pilihan keenam, Kevin Anderson, 1-6, 2-6, 7-5, 7-6 (7/0), 6-2.

“Saya berharap perlawanan menentang Diego tidaklah begitu sukar. Dia seorang kawan yang baik yang sentiasa berusaha gigih dan saya gembira melihat kejayaannya,” kata Nadal.

Raja gelanggang tanah liat itu melakar rekod37 set kemenangan berturut-turut di Roland Garros, kurang empat set berbanding rekod Bjorn Borg antara tahun 1979 dan 1981.

Sumber : MyMetro

Foto Kredit : wsj(dot)com