Connect with:




Meskipun Arsene Wenger dikaitkan dengan jawatan kosong sebagai jurulatih Real Madrid berikutan Julen Lopetegui dipecat, beliau menegaskan bahawa dirinya tidak berminat untuk melatih mana-mana pasukan sehingga Januari depan.

Beliau yang meninggalkan Arsenal pada akhir musim lepas, mendedahkan akan berehat dari dunia kejurulatihan untuk seketika setelah berkhidmat selama 22 tahun bersama kelab berkenaan.

“Saya bukan jurulatih Real Madrid. Saya di sini untuk menyokong David Dein,” ujar Wenger kepada talkSPORT.

“Secara keseluruhan, saya tidak tahu perancangan di masa hadapan, tetapi saya akan kembali ke dunia bola sepak tidak lama lagi,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk melatih kelab lain pada masa akan datang dan akan kembali ke kancah kejurulatihan pada awal tahun depan.

Malahan, beliau juga belum tertarik untuk berkhidmat di Liga Perdana Inggeris tetapi tidak menolak kemungkinan sekiranya khidmat beliau diperlukan di sana.

“Saya sudah berulang kali mengatakan bahawa mungkin jalan terbaik adalah bukan di England, kerana saya banyak menghabiskan masa saya bersama kelab yang sama. Pelik rasanya jika saya pergi ke kelab yang lain.

“Tetapi pada masa ini, saya tidak dapat memberitahu anda tentang masa depan, kerana saya sememangnya tidak tahu di mana saya akan berada nanti,”tambahnya.

Foto: webdo