Sasi dan Fitri Bersaing Untuk Merebut Slot Wild Card Moto3 2013

 

Berita baik menanti dua pelumba negara, Mohd Fitri Ashraff Razali dan Sasitharen Sukumaran sebaik Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS 2012 menutup tirainya di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 24 November ini.

Beraksi dalam kategori Piala Impian Asia, kedua-dua pelumba negara itu berpeluang untuk menyertai enam lagi pelumba yang menduduki lapan tempat teratas untuk menjalani ujian Moto3 bagi merebut tiket wildcard MotoGP pada musim 2013 sebagaimana yang dijanjikan sewaktu saingan yang julung kali dianjurkan pada tahun ini membuka tirai pada April lalu.

Lapan pelumba terpilih akan diberikan peluang untuk menjalani ujian bersama empat jentera perlumbaan Moto3 yang disediakan pihak Honda Japan dan akan diselenggarakan oleh jurutera perlumbaan GP dari HRC.

Setakat ini, Fitri dan Sasitharen menduduki tempat ketujuh dan kelapan keseluruhan dengan kutipan 97 mata dan 85 mata. Kedudukan Fitri dianggap selamat namun bagi Sasitharen pula, dia perlu bekerja keras pada perlumbaan terakhir di Litar Losail memandangkan pelumba Chinese-Taipei, Ko I-Chen yang berada di tangga kesembilan masih mempunyai peluang untuk memintasnya.

Jika berjaya, mereka akan menyertai duo pelumba Jepun, Hikari Okubo dan Hiroki Ono, pelumba Indonesia, Denny Triyugo dan Iswandi Muis serta pelumba Australia, Joshua Hook dan pelumba Thailand, Apiwat Wongthananon.

“Saya sudah tidak sabar dan begitu teruja ketika ini,” kata Fitri. “Memang menjadi hasrat saya untuk menguji jentera Moto3 dan ia hampir terlaksanan. Pada masa sama, saya perlu melakukan yang terbaik untuk mengatasi pelumba-pelumba lain supaya mempunyai peluang lebih cerah untuk mara lebih jauh.”

Selepas sesi ujian, pelumba yang disenarai pendek akan menjalani latihan berikutnya sebelum senarai akhir penerima tiket wildcard Moto3 akan diumumkan bagi menyertai perlumbaan Grand Prix 2013 di sekitar Asia Pasifik selain kemungkinan untuk beraksi pada musim penuh saingan MotoGP pada tahun 2014.

Semua perancangan ADC telah dimulakan sejak awal 2011 dan ganjaran untuk menguji jentera Moto3 ini telah diumumkan sewaktu masjlis pelancaran perlumbaan ADC pada Pusingan 1 ARRC, April lalu.

Dengan sokongan penuh daripada Honda Japan yang mempunyai matlamat ke arah kebangkitan pelumba-pelumba Asia, perkembangan ini akan menjadi satu permulaan kepada era baru dalam perlumbaan motosikal antarabangsa.