Juara adalah sasaran buat pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying pada Masters Thailand minggu depan.

Saiangan sulung tahun 2018 amat menggembirakan Chan Peng Soon setelah dapat berganding kembali bersama Goh Liu Ying selepas lapan bulan.

Kejohanan Master Thailand merupakan kejohanan penentu dalam membina keyakinan mereka untuk mengharungi tahun 2018 yang akan menampilkan banyak kejohanan besar.

“Saya memang harap dapat muncul juara di Thailand, kerana ia mampu untuk membina keyakinan kami secara berterusan terutama untuk menempuhi beberapa kejohanan lain,” katanya yang berusia 30 tahun.

Jelas Peng Soon, apabila kembali bergandingan dengan Liu Ying iaitu gandingan utamanya yang menyaksikan mereka berjaya meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, sasaran tinggi harus ditetapkan.

“Kalau bergandingan dengan Liu Ying memang sasaran saya sangat tinggi walaupun sekarang dia masih belum sembuh 100 peratus,” katanya.

Dalam masa yang sama Peng Soon mengharapkan Liu Ying mampu mengekalkan kekuatannya di dalam gelanggang, kerana sedikit-sebanyak ia mampu mengimbangi kekuatan antara mereka berdua.

“Saya tidak lagi muda seperti dulu, jadi dalam perkara ini tahap seseorang pemain memang sangat penting, barulah kita mampu pergi jauh dan bertahan lama,” kata Peng Soon yang sebelum ini digandingkan bersama dua pemain muda, Peck Yen Wei dan Cheah Yee See.

Ditanya mengenai beberapa kejohanan besar yang perlu dilaluinya bersama Liu Ying, Peng Soon meletakkan sasaran untuk meraih emas di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

“Komanwel memang kita perlukan emas tapi untuk Sukan Asia dan Kejohanan Dunia, kita meletakkan sasaran mara ke separuh akhir terlebih dulu,” katanya.

Masters Thailand akan berlangsung dari 9 hingga 14 Januari ini dan berdasarkan undian, mereka bakal berdepan gandingan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung pada pusingan pertama.

Sumber : Berita Harian

Foto Kredit : Facebook ( Goh Liu Ying )