Connect with:




Juventus pada Ahad telah mengumumkan Maurizio Sarri akan menggalas tugasan sebagai pengurus baharu kelab tersebut untuk tempoh 3 tahun.

Sarri kembali ke Itali selepas meninggalkan Napoli pada 2018 untuk menyertai Chelsea. Bersama kelab Inggeris tersebut, Sarri berjaya menghadiahkan trofi Liga Europa, kedudukan ketiga liga selain mara ke final Piala Liga musim ini.

Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia dalam kenyatannya di laman web rasmi pasukan memberitahu Sarri telah menunjukkan kemahuannya untuk kembali ke Itali selepas Chelsea mara ke final Liga Europa.

“Beliau (Sarri) percaya pada masa ini, amat penting untuk dirinya berada di negara kelahirannya bagi berada lebih dekat dengan keluarganya termasuk kedua ibubapanya yang sudah tua.

“Kami di Chelsea mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai seorang pengurus salah satu kelab terbesar di Serie A” tambah Marina.

Selain melantik Sarri, Juventus kini turut aktif dalam pasaran perpindahan. Beberapa pemain yang dikaitkan untuk dibeli antaranya adalah Kieran Trippier, Emerson, Paul Pogba dan Mauro Icardi.