Connect with:




Negeri bumi Kenyalang, Sarawak unggul mengekalkan gelaran juara keseluruhan Para SUKMA XIX Perak 2018 buat kali ke-13 berturut-turut.

Temasya Sukan Para SUKMA XIX Perak 2018 melabuhkan tirainya semalam itu menyaksikan Sarawak mengutip 163 pingat keseluruhan dengan 61 emas, 62 perak dan 40 gangsa, manakala kontinjen Sabah di tangga kedua jauh ketinggalan dengan 94 pingat dengan 36 emas, 28 perak dan 30 gangsa.

Dalam pada itu, Perak selaku tuan rumah kekal di tangga ketiga dengan menggondol 84 pingat keseluruhan membabitkan 29 emas, 33 perak dan 22 gangsa sekali gus melebihi sasaran 25 emas.

Tangga keempat pula dirangkul Johor dengan kutipan  29 emas, 32 perak dan 34 gangsa.

Berikutan pencapaian cemerlang dalam temasya kali ini, Sarawak turut berjaya memenangi Piala Semangat Paralimpik.

Atlet Wanita Terbaik dimenangi Nur Feiqha Mualad Mohd Halil (catur) dari kontinjen Negeri Sembilan ssetelah mengutip empat pingat emas, manakala Atlet Lelaki Terbaik pula menjadi milik Jaklon Ganding (olahraga) dari Sabah yang memenangi tiga emas.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Stadium Indera Mulia menyempurnakan majlis perasmian penutup Para SUKMA edisi ke-19.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata semangat dan iltizam atlet para dalam melakukan persiapan dan mengambil bahagian dalam temasya Para Sukma kali ini meletakkan mereka sebagai wira dan wirawati sebenar.

“Anda semua adalah yang terbaik. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas!

“Objektif menjadikan temasya ini sebagai medan yang disediakan kerajaan bagi memberi ruang kepada bakat muda dari golongan istimewa untuk membuktikan kemampuan mereka akhirnya tercapai.

“Saya rasa kagum dengan semangat barisan atlet para kerana berjaya membuktikann kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang sukan,” katanya.

“Kita mesti akui, mereka telah membuktikan kepada masyarakat bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya dan moga ia menjadi pencetus semangat kepada kita semua untuk tidak berputus asa dengan cabaran dalam kehidupan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pegawai kontinjen dan atlet atlet yang mengambil bahagian dalam temasya kali ini.

Foto: KBS