Sarawak membenam cabaran USM Staf FC 4-1 di Stadium Negeri, Kuching dalam perlawanan Liga Perdana, petang semalam.

Dengan kemenangan ini Sarawak mengumpul 42 mata dan terus kukuh di tangga kedua carta liga sambil mengiringi Selangor PKNS ke Liga Super 2012.

Sarawak terpaksa menunggu separuh masa kedua apabila gol pertama dijaringkan oleh Ashri Chuchu yang membuat larian solo dari sebelah kiri dan meledakkan gol pada minit ke 46.

Pada minit ke-48 Ashri Chuchu sekali lagi melepaskan diri daripada perangkap offside dan terus menewaskan penjaga gol USM Staf FC, G. Jeevanathan Gunasekaran dengan satu jaringan yang cantik.

Penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini, Bobby Gonzales memperolehi gol ketiga apabila meloloskan diri daripada dua pertahanan lawan seterusnya menewaskan penjaga gawang USM dengan ledakan deras.

Sarawak mendapat gol keempat pada minit ke-85 apabila Benedict Martin tidak mensia-siakan tendangan percuma dari luar kotak penalti setelah Khairul Azahar Eidros dikasari.

USM Staf FC mendapat gol saguhati di minit-minit akhir perlawanan melalui rembatan luar kotak penalti oleh Muhd Afzan Zainal Abidin.

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA PERDANA 23 MEI 2011

Harimau Muda B (0) melawan ATM (2)

Pulau Pinang (0) melawan Selangor PKNS (1)

Johor (3) melawan SDM Kepala Batas (0)

Sime Darby (1) melawan MP Muar (0)