Connect with:




Bintang Chile, Alexis Sanchez mengakui sedang bergelut untuk mempamerkan prestasi cemerlangnya sejak menyarung jersi Manchester United apabila hanya menjaringkan satu gol dalam 10 penampilan sejak perpindahan lumayan dari Arsenal.

Alexis sering menjadi bahan kritikan apabila beraksi di bawah tahap sebenar menyebabkan United kini bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara di tangan Sevilla bulan ini.

“Agak sukar buat saya kerana ini kali pertama saya bertukar pasukan pada Januari,” kata Sanchez kepada wartawan di Stockholm ketika Chile sedang melakukan persiapan bertemu Sweden, Sabtu ini.

Sanchez yang menerima gaji termahal di United ketika ini menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripadanya sepanjang berada di bawah kendalian Jose Mourinho.

“Situasi ketika ini amat sukar. Kami tersingkir daripada Piala Dunia, saya tiba di Arsenal dan mengalami kecederaan,” kata Sanchez yang hampir menyertai skuad Pep Guardiola di Manchester City.

“Pada satu ketika perpindahan gagal, saya tidak dapat pergi ke kelan satu lagi dan akhirnya saya di United, salah satu kelab terbaik di England.”

Penyerang berusia 29 tahun itu berharap dapat kembali menemui sentuhan berbisanya seperti di Arsenal bersama Chile yang akan mengharungi perlawanan pertama di bawah kendalian Reinaldo Rueda dari Colombia.

Skuad kebangsaan Chile sedang mengalami masalah dalaman selepas tersingkir daripada saingan Piala Dunia dan  penjaga gol Claudio Bravo enggan menyertai jelajah Eropah.

Menurut Sanchez, pasukan itu ibarat keluarga dan Bravo masih mempertimbangkan untuk kembali bersama pasukan kebangsaan. -AFP

Sumber : Harian Metro

Foto Kredit : sportsjoe(dot)ie