Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) FC meneruskan rentak kemenangan dalam siri persahabatan apabila menumpaskan Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) dengan jaringan 8-0 di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.

MASC yang menjadikan Stadium UiTM sebagai gelanggang rasmi mereka membariskan artis-artis terkemuka seperti Danny X-Factor, Datuk AC Mizal, Yantzen, Adlin Aman Ramli, Syed Aiman, Ridzuan Hashim, Jepp Sepah dan ramai lagi.

SAM yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Astro Awani minggu lalu, tidak menunggu lama untuk membuka akaun gol apabila Ismadi Abdul Manaf dari RTM menjaringkan gol pertama seawal minit keempat.

Seakan tidak cukup dengan satu gol, SAM FC menggandakan asakan dan berjaya memperoleh tiga lagi gol di separuh masa pertama hasil jaringan Tabah Syazwan (Scoreboard TV3), Hafizal Hamad (RTM) dan Ismadi turut menambah satu lagi gol.

Bersambung babak kedua dan berikutnya, SAM menambah empat lagi gol melalui Izwan (RTM), Black, Fatah (Karangkraf) dan penalti dari Izhar Atan (Karangkraf).