Pasukan bolasepak Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) FC berjaya menghapus badi menentang pasukan berstatus veteran apabila menundukkan Staff PKNS dengan jaringan besar 7-1 dalam aksi persahabatan di padang PKNS, semalam.

Kehadiran Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa ternyata memberi satu suntikan semangat buat SAM FC menampilkan aksi bertenaga dengan berjaya memperbaiki rekod setelah dua kali dikecewakan oleh Veteran PNSB dan Veteran MBPJ.

SAM FC tidak menunggu lama apabila penyerang prolifik, Affendi dari Karangkraf menjaringkan gol pembukaan melalui serangan balas. Tidak lama kemudian Mohd Rashid menambah gol kedua buat SAM FC.

Pemain berstatus bintang, Fatah melepaskan “geram” selepas diletakkan di posisi pertahanan apabila melakukan larian solo dan merembat kencang untuk gol ketiga perlawanan.

Bersambung babak kedua, bekas penyerang Pahang dari RTM, Ismadi Manap masuk bergandingan dengan pengacara Scoreboard TV3, Tabah Sazwan yang kembali beraksi menambah sengat dan hasilnya Ismadi berjaya meledak gol keempat SAM FC disusuli gol kelima hasil gol sendiri pemain Staf PKNS.

Aksi babak ketiga menyerlahkan kredibiliti Ismadi sebagai penggempur berpengalaman apabila berjaya menyudahkan hantaran jauh menarik Hafizal Hamad untuk gol keenam perlawanan. Ismadi berpeluang mencipta hatrik namun ketika hanya berdepan dengan penjaga gol lawan, tolakannya sedikit tersasar.

Staf PKNS FC tidak berputus asa dan melalui beberapa asakan menyaksikan penjaga gawang SAM FC, Mohd Fairus yang banyak berehat, dibolosi oleh satu sepakan menarik dari sudut sukar yang terus menerjah jaring.

Hafizal Hamad yang berusaha keras untuk mencipta jaringan akhirnya berjaya apabila SAM FC memperolehi sepakan penalti setelah Ismadi dikasari oleh pihak lawan.

Ketika sepakan yang bakal dilakukan dijangka seiras sungkitan “Pirlo” namun Hafizal memilih untuk merembat kencang ke penjuru kiri gawang gol bagi menutup pesta gol.

Dalam ucapan penutup ketika majlis minum petang, Presiden PKNS FC, Noor Hisham Mohd Ghouth mengucapkan terima kasih di atas kesudian SAM FC untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan berharap hubungan baik ini dapat diteruskan ketika kempen Liga Malaysia nanti.