Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) bagi penggal 2012-2014, Ahmad Khawari Isa berjanji akan memperkenalkan idea dan aktiviti baru supaya ahli SAM mendapat pulangan dari penyertaan mereka.

“Saya juga akan memastikan SAM akan terus relevan sebagai persatuan untuk pengamal media sukan tanahair dan berharap dengan lebih ramai penyertaan ahli, suara SAM akan lebih didengari oleh pihak-pihak yang berkenaan,” kata Khawari ditanya wartawan selepas Mesyuarat Agung SAM.

Seramai 39 anggota menghadiri mesyuarat SAM yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad.

Mesyuarat agung kali ini menyaksikan kesemua 5 jawatan tertinggi dimenangi penyandang lepas tanpa bertanding.

Ketua Kakitangan Astro Arena, Ahmad Khawari Mohd Isa mengekalkan jawatan sebagai Presiden bagi penggal 2012-2014.

Turut mempertahankan jawatan tanpa bertanding ialah Pengarang Sukan Kosmo, Asan Ahmad sebagai Timbalan Presiden.

Eric Samuel (The Star) dan Norismadi Abdul Manap (RTM) turut kekal sebagai naib presiden manakala jawatan Setiausaha terus disandang Ahmed Faisal Jamal (RTM) dan Mohd Ali Majid (Berita Harian) pula sebagai Bendahari Kewangan.

Hanya jawatan bagi lima exco SAM dibuat secara undian dan tempat berkenaan diisi oleh , Mohd Hafizal Hamad (RTM), Zulhilmi Supaat (Bernama), Izahar Atan (Karangkraf), Tumpang Sabtu (wartawan bebas) dan Jalil Mat Dom (RTM).

Dalam majlis sama, Ahmad Khawari hari ini turut melantik Yu Nee Kong daripada Sin Chew Daily sebagai exco bagi menjaga kepentingan wartawan akhbar berbahasa Cina.