Connect with:




Pemain legenda Real Madrid, Michel Salgado gesa Real Madrid bangkit selepas mengalami kekalahan dalam saingan Liga Juara-Juara di pusingan 16 kepada Ajax minggu lalu.

Salgado yang pernah beraksi bersama Real pada musim 1999-2009 percaya dengan kualiti pemain yang ada, skuad Los Blancos itu juga mempunyai peluang sekurang-kurangnya untuk mencabar pendahulu liga jika terus mempamerkan kebangkitan.

“Februari hingga Mac adalah waktu yang sukar untuk juara bertahan Liga Juara-Juara apabila tewas dalam saingan tersebut kepada Ajax,” katanya.

Malah sebelum ini Real juga telah tersingkir dalam saingan Copa del Rey di separuh akhir serta dalam saingan liga kepada Barcelona yang telah menghancurkan harapan Real untuk menjulang piala pada musim ini.

“Real merupakan kelab yang besar dan mempunyai ramai pemain terbaik dunia. Untuk pertahankan kejuaraan memang sangat sukar, Real sudah pasti mempunyai tekanan yang besar.

“Saya harap mereka jangan terlalu banyak membuat keputusan tetapi perlu bertenang dan memperbaiki kelemahan untuk terus bangkit mengharungi saingan musim ini,” jelas Salgado.

Dalam masa yang sama, seorang lagi legenda Real Madrid, Fernando Morientes berkata Real perlu mencari pemain yang bagus untuk diserapkan dalam pasukan. Malah Real juga mempunyai pemain muda yang sangat berbakat seperti Vinícius Júnior, Marco Asensio, Brahim Díaz dan ramai lagi.

“Ini berita baik untuk Real dengan adanya ramai pemain muda berbakat tetapi mereka juga perlu menandatangani pemain baru untuk meningkatkan kekuatan pasukan bagi mendapatkan kejuaraan untuk musim hadapan,” jelas Morientes ketika ditemui dalam program Nivea Men – MyPadang Musim Ke-5 di Bukit Jalil.