Connect with:




Mohamed Salah sekali lagi menunjukkan ‘magis’ apabila membantu kemenangan 5-2 Liverpool ke atas AS Roma pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara Juara, awal pagi tadi.

Penyerang Mesir itu menjaringkan dua gol dan dua ‘assist’ ketika bertemu bekas majikannya dan sekali gus mengumpul 43 gol setakat ini.

Bermain di gelanggang keramat Anfield, Liverpool mengambil peluang sepenuhnya dengan menguasai perlawanan sejak mula lagi dan Salah menjaringkan gol pertama pada minit ke-36 selepas menerima hantaran daripada Roberto Firmino.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Salah sekali lagi muncul sebagai penjaring apabila menyempurnakan umpanan daripada Firmino dan menewaskan penjaga gol Roma, Alisson Becker.

Memasuki separuh masa kedua, Liverpool semakin bernafsu memburu jaringan dan hasilnya Sadio Mane menjaringkan gol hasil hantaran daripada Salah.

Selepas itu giliran Firmino pula menunjukkan taring apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-61 dan ke-69.

Roma yang tenggelam sepanjang perlawanan sempat mengambil kesempatan ke atas kelekaan Liverpool apabila dapat menjaringkan dua gol daripada Edin Dzeko minit ke-81 dan sepakan penalti minit ke-85 menerusi Diego Perotti.

Liverpool membawa bekalan agak selesa ke Itali untuk separuh akhir kedua minggu hadapan tetapi Roma masih mempunyai peluang untuk mengatasi defisit jaringan.

Foto Kredit : india(dot)com