Connect with:




Mengimbau kenangan. Mengembalikan perseteruan.

Itulah yang berlaku sepanjang dua hari berlangsungnya Kejohanan Bola Keranjang “Battle Of Inter Alumni” di ISKL, Ampang pada 27 dan 28 Julai lalu.

Dianjurkan oleh Alumni Seri Puteri (Puteri Alumni), 16 pasukan lelaki dan 6 pasukan wanita berentap bagi membuktikan kehebatan alumni masing-masing sebagai alumni SBP terhebat dalam arena bola keranjang.

Ia umpama satu sesi ‘throwback’ bagi para peserta yang dahulunya aktif dalam saingan Piala Perdana Menteri – kejohanan eksklusif untuk sekolah-sekolah berasrama penuh.

Antara alumni yang menyertai edisi kedua ini adalah MOZAC, SMS Kota Tinggi, SDARA, SMSS, TKCOGA, STF dan tuan rumah sendiri iaitu Puteri Alumni.

Dalam kategori lelaki, pasukan Alumni SMS Kota Tinggi (SAKTI) berjaya mengenepikan cabaran sengit Alumni Sekolah Dato Abdul Razak (SDARA) dalam aksi final sementara SMACH A iaitu Alumni SMS Machang mengungguli tempat ketiga menewaskan Alumni SMS Selangor.

Bagi aksi wanita pula, tuan rumah, Puteri A muncul juara menewaskan Alumni Sekolah Tun Fatimah (Serikandi) sekaligus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu. Alumni Kolej Tunku Kurshiah (TKCOGA) berada di tempat ketiga sementara Alumni SMS Pasir Puteh keempat.

Selaku juara, SAKTI dan Puteri A membawa oulang trofi kejohanan beserta hadiah wang tunai RM 1000.

“Tujuan kejohanan ini diadakan adalah bagi memberi peluang buat bekas pelajar SBP bersaing dalam aksi kompetitif selain mengeratkan silaturahim antara alumni” jelas penganjur.

Kejohanan turut menyaksikan acara pertunjukkan melibatkan pasukan profesional Malaysia Dragons yang beraksi menentang pilihan All-Star Alumni SBP dengan menyaksikan All Star membuat kejutan memenangi perlawanan menerusi keputusan 29-25.

Berikut keputusan penuh Kejohanan Bola Keranjang “Battle of Inter Alumni” 2019:

Lelaki (Cup)
1. SAKTI (Alumni SMS Kota Tinggi)
2. SDARA (Alumni SDAR)
3. SMACH A (Alumni SMS Machang)
4. Alumni SMS Selangor

Lelaki (Plate)
1. SMACH B (Alumni SMS Machang)
2. ASPUTRA
3. Excel
4. Sajoha

Wanita
1. Puteri A
2. Serikandi (Alumni STF)
3. TKCOGA
4. PASSP (SMS Pasir Puteh)
5. Puteri B
6. Alumni SMS Selangor