Connect with:




Saiyan Reborn muncul juara pertama dari Malaysia yang menjulang trofi kejuaraan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) musim kedua setelah mengetepikan lawan dari Singapura, EVOS Esports SG dengan kemenangan 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Paradigm Mall, Main Course semalam.

Kejayaan mengetepikan pasukan pilihan Flash Tyrants serta pasukan abang mereka, AirAsia Saiyan berjaya diteruskan pasukan Saiyan Reborn sehingga ke peringkat akhir dan menjulang trofi kejuaraan.

Perlawanan akhir semalam berlangsung dengan penuh sengit menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai kesungguhan untuk keluar sebagai juara.

Saiyan Reborn terlebih dulu mendahului dengan kedudukan 2-0 namun kesilapan percaturan menyaksikan EVOS Esports SG bangkit mengikat kedudukan 2-2.

Tampil sebagai wakil tuan rumah di pentas akhir serta berbekalkan sorakan peminat tempatan yang hadir, Saiyan Reborn yang menggunakan draft berbeza berjaya untuk kembali mendominasi pada perlawanan kelima, sekaligus menyesahkan kejuaraan menjadi milik mereka.

Selain trofi kejuaraan, Saiyan Reborn turut pulang dengan hadiah wang tunai berjumlah USD31,000.

MPL musim kedua yang berlangsung pada Jumaat, 19 Oktober hingga Ahad, 21 Oktober di Paradigm Mall, Main Course menyaksikan lapan pasukan bersaing bagi merebut hadiah terkumpul berjumlah USD64,000.

Lapan pasukan yang bertanding pada peringkat penentuan adalah Flash Tyrants, EVOS SG, AirAsia Saiyan, Geek Fam Mystic, Traitor, Bigetron SG, Geek Fam ICON dan Saiyan Reborn.