Connect with:




Perebutan untuk gelaran Pemain Muda Harapan pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK18) yang akan berlangsung Isnin depan bertempat di Hotel Pullman Kuala Lumpur, Bangsar  tampak sengit dengan pencalonan dua pemain muda sensasi negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Muhammad Safawi Rasid serta tidak ketinggalan ‘ubi muda’ pasukan Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran, 19, bakal memberi tentangan kepada Muhammad Akhyar, 19 yang mewakili Kedah serta seorang lagi tonggak harapan negara yang kini bersama Johor Darul Takzim (JDT), Safawi berusia 21 tahun.

“Safawi (JDT), Nik Akif (Kelantan) dan Akhyar (Kedah) rebut kategori Pemain Muda harapan”

Selain tercalon untuk kategori Anugerah Pemain Muda Harapan, Akhyar turut memberi saingan kepada Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Shahrel Fikri (PKNP FC) bagi anugerah Penyerang Terbaik.

“Shahrel Fikri mewakili PKNP FC dan Penyerang JDT, Hazwan Bakri diberi tentangan oleh Akhyar”

Sementara Safawi dan Nik Akif pula bakal bersaing dengan pemain Pahang Nor Azam Azih untuk kategori Pemain Tengah Terbaik.

“Nik Akif dan Safawi turut tercalon bagi kategori Pemain Terbaik bersama pemain Pahang Nor Azam Abdul Azih”

Wira Piala Malaysia 2018 pasukan The Bos Gaurus, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jotty yang menyelamatkan dua sepakan penalti pasukan lawan (Terengganu) di final Sabtu lalu bakal diberi tentangan hebat penjaga gawang JDT, Farizal Marlias serta bekas penjaga gol Kelantan yang kini bersama Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat.

“Hafizul Hakim (Perak) disaing hebat Farizal Marlias (JDT) dan Khairul Fahmi (Melaka United)”

Bagi pemain import pula pemain Terengganu, Lee Tuck bakal menerima tentangan hebat dari pemain JDT, Gonzalo Cabrera serta wakil Selangor, Rufino Segovia.

“Saingan sengit buat Lee Tuck (Terengganu) dicabar Cabrera (JDT) dan Rufino (Selangor)”

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi satu kenyataan memaklumkan ada 25 kategori telah disenaraikan untuk ABK tahun ini serta satu kategori terbaru iaitu Pemain Terbaik ASEAN.

Faris Ramli (PKNS FC) serta Safuwan Baharudin (Pahang) mencabar Haris Harun (JDT) bagi kategori Pemain ASEAN Terbaik”

Tidak ketinggalan juga anugerah buat penyokong iaitu kategori peminat pula bagi Anugerah Penyokong Terbaik, penyokong JDT dilihat bakal menerima cabaran dari penyokong Kedah serta Pahang.

“Kategori Penyokong Terbaik”

Proses saringan telah dilakukan Jawatankuasa Saringan ABK 2018 terhadap sembilan kategori yang seterusnya proses undian akan dilaksanakan oleh 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan dan 23 wakil media.

“Kesemua kategori dan pencalonan berkenaan telah diteliti dan di senarai pendek kepada 10 orang calon untuk setiap kategori oleh Jawatankuas Saringan ABK18 yang terdiri dari enam ahli panel termasuk ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara (B23), Datuk Ong Kim Swee sebagai wakil dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” menurut kenyataan tersebut.

ABK18 bakal disiarkan secara langsung bermula 9 malam di saluran Football Malaysia iflix dan Astro Arena.

 

Foto : Facebook ArenaSukan

Sumber : Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)