Connect with:




Salah satu pertarungan yang bakal mencuri tumpuan pada ONE: MASTER OF DESTINY pastinya pertembungan dua jaguh Muay Thai negara.

Saiful ‘The Vampire’ Merican ialah veteran Muay Thai yang sudah mengidam lama untuk beraksi sementara jaguh mudam Mohamed ‘The Jordan Boy’ Mahmoud pula mempunyai matlamat sendiri bagi memulihkan rekodnya.

Kali terakhir Saiful berada di pentas ONE Championship adalah pada Ogos 2017 di Macau. Beliau beraksi untuk pertarungan MMA menentang Chen Lei dari China. Saiful tewas dalam pertarungan tersebut namun yang lebih meyedihkan, dia mengalami kecederaan hingga dinasihatkan berehat panjang.

“Saya melakukan pembedahan untuk masukkan besi ke dalam tangan saya. Dua tahun saya berehat jadi saya sangat teruja untuk kembali beraksi” kata Saiful.

Lebih menarik, pertarungan kali ini adalah pertarungan Muay Thai – disiplin pilihan buat dirinya.

“Saya sememangnya bermula dengan Muay Thai dan aktif dengan sukan ini sejak dulu lagi. Apabila ONE memperkenalkan siri super Muay Thai, saya sangat teruja namun disebabkan kecederaan, saya terpaksa berehat.

“Mujur penantian tersebut akan berakhir Jumaat ini. Doktor telah beri pelepasan dan saya sudah bersedia. Cumanya memang ralat sedikit kerana perlu berdepan rakan senegara sendiri tetapi saya anggap ini adalah sebahagian dari sukan. Saya tetap mahukan kemenangan” kata Saiful lagi.

Ketika Saiful berehat, Mohammed muncul sebagai antara petinju Muay Thai meningkat naik di Malaysia. Kejayaan demi kejayaan membuatkan ONE menawarkan kontrak kepada Mohammed.

Kemunculan pertamanya di atas pentas ONE tahun lalu di Kuala Lumpur bermula dengan langkah kanan. Bagaimanapun, 2019 setakat ini bukanlah tahun yang bertuah buat dirinya. Jordan Boy tewas di Manila, Tokyo dan terbaru di Indonesia.

“Saya akui kelemahan saya di Manila dan Tokyo. Lawan beraksi lebih hebat pada malam tersebut. Di Jakarta pula, saya mengalami demam yang teruk sehari sebelum pertarungan.

“Awalnya memang saya nak tarik diri kerana demam tak kebah tetapi bapa saya nasihat untuk teruskan pertandingan” kata Mohammed yang tewas kepada Andrew Miller dari Scotland di Jakarta menerusi keputusan sebulat suara juri.

Tiga kekalahan berturut-turut ini jelas memberi tekanan kepada Mohammed namun menjelang aksi menentang Saiful, dia nyata bersedia dan mahu bangkit.

“Saya kena menang pertarungan ini untuk pulihkan rekod saya. Apa yang menarik untuk pertarungan kali ini, saya dapat kembali beraksi di tempat sendiri. Saya memang menunggu untuk beraksi di hadapan penyokong Malaysia” kata Saiful yang berlatih dengan gimnasium Sampuri Muay Thai dan Selendang Kuning.

“Saiful adalah peninju Muay Thai yang cukup dihormati. Satu kebanggaan buat diri saya untuk berkongsi gelanggang dengannya dan saya janji untuk beri yang terbaik demi mencari kembali kemenangan.”