Connect with:




Kapten bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim berkemungkinan bakal menyertai kelab luar negara apabila dia bakal meninggalkan kelab berkenaan pada musim depan.

Spekulasi itu terjawab selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) memuat naik satu kenyataan di laman Facebook rasmi kelab Johor Southern Tigers.

“Selamat maju jaya diucapkan kepada Safiq Rahim. Dari pandangan ikhlas saya, beliau adalah pemain yang paling berjaya sekali dalam JDT dan sudah banyak membantu JDT untuk mencapai matlamat-matlamat kami.

“Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola sepak terbaik yang bukan saja sudah memberi sumbangan kepada JDT tetapi juga kepada kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan perasaan terharu memandangkan pemain tengah Harimau Selatan itu banyak memberikan sumbangan dan salah seorang tonggak utama disebalik kejayaan JDT hari ini.

Meskipun dia akan berhijrah ke kelab lain, TMJ turut memberitahu, pintu kelab JDT sentiasa terbuka buat Safiq jika dia ingin kemblali.

“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak akan tahu sama ada Safiq akan kembali semula atau tidak suatu hari nanti. Saya pun tidak tahu.

“Pintu di Johor sentiasa terbuka untuk beliau dan walau apa pun, setinggi-tinggi ucapan terima kasih dari saya, JDT dan semua penyokong serta Keluarga JDT. Macam mana sekalipun, anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari Keluarga JDT,” tambah TMJ lagi.

Jawapan balas dari JST tentang status Safiq Rahim.

Dalam perkembangan yang sama, satu jawapan balas JST tentang spekulasi penyokong yang mengaikat perpindahannya ke Selangor dan PKNS FC terjawab apabila mereka menyatakan bahawa Safiq mungkin akan beraksi di luar negara.

Safiq yang menyertai JDT pada 2013 membantu pasukan meraih kejuaraan utama iaitu Liga Super sebanyak lima kali berturut-turut sejak 2014, Piala AFC 2015, Piala FA 2016 dan Piala Malaysia 2017.

Disamping itu, ketika di JDT, Safiq dinamakan Pemain Tengah Terbaik di Malaysia sebanyak dua kali (2015 dan 2016), Pemain Paling Bernilai 2015 di Malaysia dan kemungkinan pencapaian peribadi terbaik adalah apabila dinamakan sebagai Pemain Paling Bernilai Piala AFC 2015.

Foto: Football Tribe