Connect with:




Penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid telah tersenarai sebagai 10 pemain muda terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 dalam laporan liga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Safawi, 21, turut bermain di posisi tengah akan menggalas tanggungjawab JDT menjelang pertemuan pembukaan peringkat kumpulan menentang juara bertahan dari Jepun, Kashima Antlers selasa ini.

“Saya ingin memberi fokus sepenuhnya dan persembahan terbaik dalam aksi ini. Apabila tersenarai sebagai 10 pemain terbaik, itu menjadi pembakar semangat untuk membantu saya beraksi lebih baik untuk membantu JDT dalam saingan kali ini.

“Saya tidak mengalami tekanan malah gembira berada di pentas tertinggi kelab Asia kerana pentas ACL ini adalah pentas untuk membuktikan bakat saya dan serta pemain-pemain lain,” ujarnya dalam laporan mStar Online.

Berdasarkan laporan AFC, Safawi merupakan pemain bintang Asia Tenggara yang bakal menunjukkan aksi pertama di pentas ACL pada tahun ini.

Safawi juga berada di kelas tersendiri dan beliau telah berjaya untuk menjaringkan gol dalam saingan AFC bersama JDT dua tahun lalu.

Pemain berasal dari  Terengganu itu adalah seorang pemain yang pakar dalam keadaan bola mati dan mempunyai sejarah mencetak gol yang menakjubkan dari jarak jauh, sementara ia juga memiliki kemahiran untuk bermain dibahagian pertahanan serta mempunyai kreativiti untuk menghantar bola kepada rakan sepasukan.

Safawi yang merupakan antara tonggak utama dalam skuad kebangsaan dan berjaya membantu Malaysia melayakkan diri ke suku akhir Piala AFC Bawah 23 Tahun serta menjaringkan gol di pentas akhir Piala AFF ketika menentang Vietnam tahun lalu .

Sementara itu, pemain muda lain yang menjadi perhatian termasuk Hiroke Abe (Kashima Antlers, Jepun), Han Seung-gyu (Jeonbuk Hyundai Motors, Korea Selatan), Supachai Jaided (Buriram United, Thailand), Bassam Al Rawi, (Al Duhail, Qatar), Allahyar Sayyad (Esteghlal, Iran), Zhang Yuning (Beijing FC, China), Jasurbek Yakshiboev (Pakhtakor, Uzbekistan),  Safaa  Hadi (Al Zawraa, Iraq) dan Yahya Al Ghassani (Al Wahda, UAE).

AFC

Foto : Facebook Safawi Rasid