Connect with:




Mereka datang membuat persiapan seminggu lebih awal. Mereka mempunyai kelebihan kecergasan berbanding Malaysia yang baharu 4 hari bekerja keras selepas menewaskan Thailand.

Mereka juga didatangi sokongan padu Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di sini serta kelompok penyokong dari Indonesia sendiri dengan misi yang satu – membalas dendam akan kekalahan memalukan di Gelora Bung Karno pada Ogos lalu.

Semua itu bertukar menjadi mimpi ngeri buat Sang Garuda. Di dalam stadium yang dipenuhi kapasiti hampir 80,000 penonton, Garuda jelas bukan lagi lawan Malaysia.

Dua gol dari pemain terbaik Liga Malaysia 2019, Safawi Rasid telah membuatkan bukan sahaja Bukit Jalil bergegar malahan sama juga di Dataran Merdeka, di Tampin, di Segamat, di Dungun, Kokdiang, Arau, Tawau, Kuching dan seluruh Malaysia.

Sepakan percuma berkelas dunia di samping jaringan padu yang hampir mengoyakkan jaring membuktikan Safawi berada dalam kelas tersendiri. Kredit juga harus diberi kepada seluruh pasukan terutamanya barisan pertahanan. Boleh dikatakan ini persembahan terbaik pernah ditampilkan gandingan Aidil Zafuan dan Shahrul Saad.

Malaysia juga bertuah mempunyai dua penjaga gol hebat. Khairul Azhan berjaya mengagalkan percubaan satu-lawan-satu dengan Febri Hariyadi sementara penggantinya, Farizal Marlias mudah menyelamatkan sepakan penalti Osas Saha pada penghujung perlawanan.

Bagi Tan Cheng Hoe, 2019 berjaya ditutup dengan noktah gemilang. Dalam sidang media selepas perlawanan, beliau mahu para pemain ‘enjoy’ bersama keluarga dan rakan-rakan sementara liga sedang bercuti sebelum musim baharu tiba.

Bagi Indonesia pula, 2019 sebenarnya boleh dikira tahun membanggakan untuk skuad bawah umur selain turut dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia bawah 21 tahun 2021. Namun untuk skuad utama, 2019 adalah tahun malapetaka.

Sudah tiba masanya Indonesia berhenti menyatakan Malaysia sebagai ‘rival‘. Harimau Malaya hanya mahu bertanding dengan pasukan yang sama atau lebih kuat seperti Vietnam, Thailand dan UAE.

Bolos 16 kali, hanya 3 jaringan dan langsung tiada mata selepas 5 perlawanan? Jika sebegini lemah, sememangnya tidak layak untuk menjadi ‘seteru’ Malaysia.