Connect with:




Ramai yang sudah menonton video yang tular di laman sosial mengenai kejayaan remaja berusia 15 tahun, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang mencatatkan larian 10.63 saat dalam acara 100 meter di Kejohanan MSSM 2019.

Prestasi Azeem dilihat cukup memberangsangkan apatah lagi dia berjaya memecahkan dua rekod temasya pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019, Mac lalu.

Baru berusia 15 tahun, potensi yang ada pada pelari dari Perak ini cukup besar. Azeem mempunyai susuk tubuh yang cukup sesuai sebagai pelari pecut.

Bagaimanapun disebalik kejayaan yang dicatatkan oleh Azeem, peminat sukan Malaysia harus berhati-hati untuk tidak terus menenggelamkan pontensi yang ada pada dirinya. Memberikan jolokan ‘Usain Bolt Malaysia’ mungkin boleh memberikan tekanan ketika dia masih berada dalam usia yang muda.

Azeem perlu terus konsisten untuk mencatat masa lebih pantas sejajar dengan peningkatan usianya nanti.

10.63 saat mungkin satu yang menakjubkan untuk Malaysia namun hakikatnya, ada ramai lagi pelari-pelari muda yang lebih pantas dan mungkin akan menjadi pencabar utama buat Azeem satu hari nanti.

Keratan majalah Dunia Sukan edisi 65 mengenai Azeem Fahmi. Anda boleh baca menerusi applikasi pintar Dunia Sukan di App Store atau Google Play.

Jika melihat kumpulan pelari dalam kelompok umur sebaya dengan Azeem, paling menonjol pastinya Abdul Hakim Sani Brown dari Jepun.

Berapakah catatan masa 100 meter yang dilakukan ketika pelari kacukan Jepun-Ghana ini berusia 15 tahun?

10.45 saat. Dan Abdul Hakim tidak terhenti setakat itu. Lihat catatan yang dilakukannya.

2015 – 10.28 saat (16 tahun)
2016 – 10.22 saat (17 tahun)
2017 – 10.05 saat (18 tahun)

Bagaimana pula dengan negara lagenda pecut, Usain Bolt iaitu Jamaica. Ketika ini, Sachin Dennis yang berusia 16 tahun memegang rekod peribadi 10.20 saat. – juga merupakan rekod 100 meter terpantas untuk pelari berusia 16 tahun. Dennis sebelum ini turut memegang rekod untuk masa terpantas bagi pelari berusia bawah 13 dan bawah 14 tahun (dia mencatatkan masa 10.51 saat ketika berusia 14 tahun!)

Amerika Syarikat juga mempunyai pelari muda yang berpotensi besar pada masa akan datang iaitu Kennedy Lightner, 15 tahun mencatatkan masa 10.49 saat.

Satu persamaan mengenai Abdul Hakim, Sachin Dennis dan Lighner adalah dalam tempoh dua tahun, catatan masa yang diperoleh semakin baik dan lebih pantas.

Apakah potensi sebenar Azeem hanya akan kita ketahui dalam tempoh 2,3 tahun berikutnya? Itula yang disuarakan jurulatihnya, Hazuan Zainal Abidin.

“Menerusi pengalaman saya, kita tidak boleh terlalu memaksa kerana mungkin memberi kesan buruk yang mungkin akan hilang begitu saja. Jadi biarkan dia menikmati tempoh ini. Saya fikir dia akan bersedia mencabar pelumba elit pada usia 17 atau 18 tahun nanti,” dipetik dari kenyataan Hazuan kepada Harian Metro.

Malaysia kini mempunyai potensi cerah dalam acara pecut. Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisam Abdul Manap, Aqil Yasmin, Russel Alexander Taib dan terkini, Azeem Fahmi.

Mereka semua masih muda. Berikan mereka masa dan kita sebagai peminat sukan jangan terlampau menekan. Hasil sebenar akan dituai tidak lama lagi.