Sabah menjadi negeri pertama di Malaysia menganjurkan Kursus Kejurulatihan Futsal Konfederasi Bolasepak Asian (AFC)  Peringkat 1  dengan 20 orang jurulatih dari seluruh negeri menghadiri kursus tersebut di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

Kursus diketuai oleh Pengarah Teknikal Futsal Dari AFC, Ali Targlizade dan dibantu Chiew Chun Yong dan Mohd Dali Wahid dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Haji Yamani Hafez Datuk Seri Panglima Musa, Pengerusi Futsal dan Bolasepak Pantai Sabah yang merasmikan kursus, yakin program ini dapat melahirkan jurulatih yang berkualiti dan dapat melatih serta melahirkan lebih ramai pemain futsal yang berbakat.

“Sabah bertuah menjadi yang pertama menganjurkan kursus ini dan saya berharap kesemua peserta dapat menggunakan pengetahuan yang diperolehi dengan sebaik mungkin.

Ia tidak akan berakhir di sini. Kami merancang untuk membawa futsal Sabah lebih maju kehadapan dengan kemungkinan membawa juruatih dari FIFA pula,” tambah Yamani Hafez.

Selain diajar teori dan praktikal, kesemua jurulatih akan turut dipantau rapi oleh pihak futsal AFC sebelum dibenarkan menghadiri  peringkat seterusnya melalui peperiksaan yang diadakan.

Bekas pemain bolasepak negeri seperti Jelius Ating, Vun Ket Min Billyton dan Zaykiel Leong  menyertai bersama-sama wakil dari setiap daerah di Sabah.

Dua jurulatih dari Semenanjung juga menghadiri kursus ini iaitu Wan Suratman Adnan Wan Roslee dari Kelantan dan Qusmaini Noor Rusli dari Kuala Lumpur.