Connect with:




Kali terakhir Sabah menjulang trofi kejuaraan ialah pada tahun 1996. Ketika itu, Sabah muncul juara liga utama Malaysia iaitu Liga Perdana. Sejak dari itu, skuad badak kempunan untuk bergelar juara apa-apa pertandingan. Mereka hampir melakukannya pada 2002 dan 2003 namun tewas aksi final Piala Malaysia.

Pada Jumaat, Sabah berjaya mengesahkan tempat ke Liga Super tahun hadapan. Kecemerlangan tersebut diteruskan semalam dimana mereka menang 2-1 ke atas UiTM FC di gelanggang lawan sekaligus mengesahkan kejuaraan Liga Premier 2019.

Ia sekaligus menghadiahkan kejuaraan liga kedua buat mereka serta yang pertama dalam tempoh 23 tahun.

Dalam aksi di Stadium UiTM semalam, Sabah dikejutkan tuan rumah yang mendahului perlawanan menerusi Zarko Korac pada minit ke-30, sebelum Sabah bangkit menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti Rodoljub Paunovic pada minit ke-57 dan gol padang Aguinaldo Mendes Veiga pada minit ke-66.

Bagi UiTM FC, kekalahan ini pastinya merencatkan usaha mereka untuk layak ke Liga Super tahun hadapan. UiTM FC masih berada dalam posisi terbaik untuk dipromosikan dimana mereka kini berada di tangga ketiga dengan 28 mata namun slot tersebut mampu dirampas Negeri Sembilan (28 mata), Pulau Pinang (24 mata) dan PDRM FA (24 mata).