M N Ryse Sdn Bhd telah menjalinkan usaha sama dengan tiga universiti, International University (INTI), University of Nottingham dan Sunway College untuk mengadakan Ryse Gladiators 2018 yang akan bermula dari 16 Mac sehingga 21 April 2018.

Acara ini julung kali diadakan di Malaysia dan fokus utamanya untuk menarik minat pelajar untuk menyertai pertandingan ini.

Menurut Pengarah M N Ryse Sdn Bhd, Maria Wong berkata, objektif utama adalah untuk mewujudkan satu platform interaktif di mana golongan muda dan dewasa boleh berkongsi tips kesihatan.

“Ini adalah kali pertama sukan seperti ini dipertandingkan di Malaysia. Sasaran kami adalah golong pelajar universiti kerana mereka adalah golongan yang masih muda, kuat serta aktif. Golongan dewasa juga perlu mengambil bahagian dan mencabar diri mereka untuk melakukan lebih lagi,” katanya di majlis pelancaran dan kerjasama bersama tiga universiti tempatan.

Maria turut menambah, sukan ini memerlukan para peserta untuk bersedia dari segi fizikal dan mental kerana halangan yang akan dilalui mencabar kepantasan, kekuatan dan memerlukan peserta untuk membuat keputusan dengan cepat.

Ryse Gladiators 2018 akan berlangsung selama tiga hari di universiti yang berbeza dan hanya pelajar dan alumni sahaja dibenarkan bertanding. Para pelajar dikehendaki bertanding sesama mereka untuk berada di kedudukan 10 terbaik dan akan bersaing sekali lagi untuk menjadi tiga terbaik sekaligus mewakili universiti mereka di ‘grand final’.

Ryse Gladiator 2018 bakal memulakan saingan pada 16 Mac sehingga 21 April 2018 bermula di International University dan akan berakhir di Universiti of Nottingham.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh layari di www.ryseaboveall.com .